BILBAO: Pengendali Arsenal, Mikel Arteta menegaskan peranan pemain gantian bakal menjadi kunci kejayaan musim ini selepas Gabriel Martinelli dan Leandro Trossard muncul wira kemenangan 2-0 ke atas Athletic Bilbao dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara,semalam.
Martinelli yang masuk pada minit ke-71 tidak menunggu lama untuk membuka jaringan dengan gerakan solo menarik sebelum menjadi pengumpan bagi gol kedua Trossard di hujung permainan.
“Kami tahu 20 hingga 25 minit awal akan sangat sukar kerana intensiti mereka, tetapi di babak kedua kami lebih dominan dan mengancam. Bezanya adalah penyudah daripada pemain yang masuk,” kata Arteta.
Jelas jurulatih dari Sepanyol itu juga, kekuatan skuad musim ini tidak hanya bergantung kepada kesebelasan utama.
“Mereka (pemain simpanan) sama penting atau kadang-kadang lebih penting daripada pemain yang memulakan perlawanan. Penyudah akan jadi faktor penentu sepanjang musim ini,” ujarnya.
Kemenangan tersebut menjadi tonik terbaik buat The Gunners yang musim lalu terkandas di separuh akhir, apabila kali ini bangkit dengan langkah kanan di San Mames.
Arsenal akan melayan kunjungan Olympiakos pada aksi kedua Kumpulan F pada 1 Oktober manakala Bilbao berdepan Borussia Dortmund. – AGENSI/UTUSAN










