Pemain import baharu JDT, Selangor jadi tumpuan

Pemain import baharu JDT, Selangor jadi tumpuan

Nacho Mendez antara pemain baharu Johor Darul Ta'zim (JDT) yang akan jadi tumpuan dalam saingan Liga Super musim ini. IHSAN JOHOR SOUTHERN TIGERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perlawanan Sumbangsih esok bukan sekadar aksi pembuka tirai Liga Super, ia bakal menjadi pentas sulung buat empat muka baharu import yang cukup dinantikan peminat.

Empat pemain import itu adalah Chrigor Moraes dan Willian Lira di kem Selangor FC, serta Nacho Mendez dan Joao Figueiredo beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).

Kedua-dua pasukan membawa masuk tenaga baharu dari luar negara untuk memperkukuh jentera serangan dan tengah, dan penyokong pastinya teruja untuk menyaksikan sejauh mana bintang-bintang ini mampu mengubah dinamika perlawanan di awal musim ini.

Penyerang baharu Selangor, Chrigor berusia 24 tahun dengan nilai pasaran dianggarkan bernilai 800,000 Euro (RM3.9 juta) oleh laman, Transfermarkt, pastinya dinantikan penyokong Gergasi Merah melihat impak yang mampu diberikan pemain kelahiran Brazil itu.

Dia pernah beraksi bersama kelab gergasi seperti Internacional, Red Bull Bragantino dan kelab terakhirnya adalah Buriram United sebelum menyertai Selangor.

Seorang lagi penyerang Gergasi Merah adalah Willian Lira yang sebelum ini pernah mewakili Kedah, dianggarkan bernilai 300,000 Euro (RM1.4 juta).

Pemain berusia 31 tahun itu, terkenal dengan rembatan kencang dan kepakarannya menjaringkan gol dari luar kotak penalti serta situasi bola mati sekali gus diharapkan mampu merobek gawang JDT.

Bagi Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Faizal Wahid berharap pemain-pemain baharu dan juga lama mampu memberi impak besar pada aksi berdepan JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) malam esok.

Tentu sekali pemain import baharu menjadi tumpuan para peminat Gergasi Merah namun Faisal Halim juga menjadi antara individu yang mahu disaksikan berada dalam prestasi sebenarnya.

“Saya ternanti-nantikan Faisal Halim yang akan jadi kapten dan kembali cergas 100 peratus untuk benam JDT selain ingin lihat pemain import baru memberi impak besar seterusnya beri kemenangan buat pasukan Selangor,” katanya.

Sementara di kem skuad Harimau Selatan, tiga pemain ini iaitu Joao Figueiredo, Nacho Mendez dan Jairo berada di kedudukan tiga teratas pemain termahal di Liga Malaysia.

Penyerang Harimau Selatan Joao Figueiredo dianggarkan bernilai 2 juta Euro (RM9.96 juta) manakala Mendez (RM7.34 juta) dan Jairo (RM4.4 juta).

Justeru, para penyokong JDT tentunya mahu melihat ‘skuad termahal’ Liga M ini memperagakan corak permainan terbaik pada aksi berdepan Selangor, selain berharap pemain-pemain baharu JDT memberi impak ‘luar biasa’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN