LONDON: Penyerang Liverpool Darwin Nunez akhirnya meninggalkan Anfield dengan menyertai gergasi Arab Saudi, Al-Hilal.
Keputusan itu menjadi satu langkah besar yang bakal membuka laluan buat Liverpool memburu khidmat bintang Newcastle United, Alexander Isak.
Nunez, yang dibawa masuk dari Benfica tiga tahun lalu dengan yuran awal 75 juta euro (RM369.9 juta), diletakkan harapan tinggi untuk menjadi mesin gol baharu The Reds.
Namun, dia hanya merekodkan 40 jaringan daripada 143 penampilan tidak sekali gus gagal memenuhi tanda harga yang dibayar, malah, kedudukannya semakin goyah di bawah era Jurgen Klopp mahupun Arne Slot.
Menurut laporan media Britain, Al-Hilal akan membayar yuran awal 53 juta euro (RM261.4 juta) untuk pemain berusia 26 tahun itu.
“Al-Hilal Club Company berbesar hati mengumumkan menandatangani penyerang Uruguay, Darwin Nunez dari Liverpool FC dengan kontrak tiga tahun,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.
Kedatangan Hugo Ekitike dan Florian Wirtz dalam perbelanjaan besar 300 juta euro (RM1.47 bilion) yang turut merangkumi pembelian bek sayap, Milos Kerkez dan Jeremie Frimpong turut memberi kesan kepada peluang Nunez untuk bermain dalam kesebelasan utama.
Liverpool masih berpotensi untuk memecahkan rekod perpindahan Britain dengan membawa masuk Isak. – AGENSI/UTUSAN











