PETALING JAYA: Tiada siapa menyangka keputusan dua tokoh penting sukan terjun negara meninggalkan Malaysia memberi impak sebesar ini terhadap kejatuhan prestasi skuad kebangsaan di Kejohanan Dunia Akuatik 2025 yang berlangsung di Singapura, ketika ini.
Ketika Singapura dan Korea Selatan melonjak sebagai pencabar baharu rantau ini, Malaysia pula seperti hilang hala tuju apabila sekadar menjadi pemerhati dalam acara yang satu ketika dahulu didominasi sepenuhnya.
Bekas pengarah teknikal terjun negara, Bryan Nickson Lomas, kini menjadi arkitek kebangkitan Korea Selatan dengan menyaksikan anak didiknya, Moon Nayun, menduduki tempat ke-14 dunia dalam acara 10 meter (m) platform wanita.
Lebih mengejutkan, Singapura turut meraih sejarah tersendiri apabila penerjun remaja mereka berusia 14 tahun, Ainslee Kwang, layak ke separuh akhir di tempat ke-13, jauh meninggalkan penerjun remaja negara yang juga juara Sukan SEA 2023, Lee Yiat Qing, di tempat ke-29.
Antara watak utama di sebalik kebangkitan Singapura ialah bekas ratu papan anjal negara, Wendy Ng, yang kini bertugas sebagai jurulatih pembangunan bakat di sana sejak Januari lalu.
Pengarah teknikal terjun negara, Yeoh Ken Nee berkata perancangan Yiat Qing kini adalah melatih serta menilai prestasinya untuk Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.
“Yiat Qing perlukan lebih banyak pendedahan untuk sampai ke tahap ini. Kami juga menjadikan kejohanan ini sebagai penilaian ke arah Sukan Asia 2026,” tambah Ken Nee.
Namun, kenyataan itu tidak mampu meredakan keresahan apabila angka dan keputusan jelas membuktikan bahawa Malaysia bukan lagi kuasa dominan Asia Tenggara dalam sukan terjun.
Lebih merisaukan, sandaran terhadap ikon negara, Datuk Pandelela Rinong, semakin kabur selepas beliau menarik diri daripada dua acara akibat kecederaan bahu yang berpanjangan.
Masa depan terjun negara kini bergantung pada keupayaan untuk bangkit daripada kehilangan dua aset teknikal paling berharga dalam sejarah Malaysia, Bryan dan Wendy yang kini mengemudi kebangkitan negara pesaing kita sendiri. – UTUSAN










