PETALING JAYA: Ketika Sukan Olimpik Los Angeles 2028 membilang hari, skuad terjun negara masih tercari-cari arah selepas gagal mencapai sasaran dalam semua acara dalam Kejohanan Akuatik Dunia 2025 di Singapura, minggu lalu.
Satu-satunya sinar hadir daripada pasangan muda, Elvis Priestly Clement dan Enrique Maccartney Harold apabila menamatkan saingan di tempat ketujuh dalam final 10 meter platform seirama lelaki, pencapaian terbaik negara dalam acara itu sejak Montreal 2005.
Namun, kejayaan mereka berlaku ketika skuad pincang tanpa Bertrand Rhodict Lises yang cedera, Datuk Pandelela Rinong dibelenggu isu kesihatan, dan senior lain tidak beraksi kerana komitmen luar.
Paling mencuri tumpuan, penerjun Singapura berusia 14 tahun, Ainslee Kwang mara ke separuh akhir dan meninggalkan penerjun negara, Lee Yiat Qing jauh ke belakang.
Malaysia pula seolah-olah masih terperangkap dengan kebergantungan kepada nama-nama lama yang pernah menggegarkan dunia satu ketika antaranya Pandelela, Datuk Leong Mun Yee, Bryan Nickson Lomas, Cheong Jun Hong dan Wendy Ng yang pernah menggapai gelaran juara dunia mahupun pingat dalam Sukan Olimpik.
Perpindahan Bryan Nickson Lomas ke Korea Selatan dan Wendy Ng ke Singapura turut menjadi tamparan besar terhadap kesinambungan pembangunan pelapis negara.
Lebih membimbangkan, acara papan anjal kini semakin tandus selepas Ooi Tze Liang berhijrah menjadi jurulatih, Wendy bersara dan Dhabitah Sabri bergelut dengan isu peribadi.
Kini tiada satu pun penerjun papan anjal lelaki atau wanita negara yang boleh disandarkan harapan ke Olimpik 2028, satu isyarat bahaya terhadap masa depan sukan ini.
Jurang prestasi yang semakin melebar membuktikan sistem pembangunan pelapis kebangsaan gagal melahirkan penerjun bersedia untuk mengisi kekosongan ditinggalkan nama besar.
Bekas Pengarah Teknikal Terjun Malaysia, Bryan pernah melancarkan pendekatan menyeluruh mengesan bakat di pedalaman Sabah, Sarawak dan kawasan Orang Asli sebagai langkah jangka panjang.
“Langkah ini diambil bagi memberi peluang kepada atlet di kawasan pedalaman yang sebelum ini terpinggir. Namun, kekangan bajet dan fasiliti yang tidak menepati piawaian menjadi cabaran besar dalam mengenal pasti dan menggilap bakat berpotensi.
“Atas sebab itu, pihak persatuan turun padang ke seluruh negeri bagi meneliti sendiri punca permasalahan yang wujud, dan pendekatan ini mula menampakkan hasil apabila beberapa bakat berpotensi dikenal pasti ketika temasya SUKMA di Sarawak.
“Usaha ini tidak boleh terhenti dan perlu diteruskan secara berterusan. Jika tiada kesedaran awal, kita mungkin kehilangan generasi penerjun yang mampu bersaing di persada antarabangsa,” kata Bryan.
Bryan juga memuji sokongan Hannah Yeoh terhadap Program Terjun Fast Track tetapi kesinambungan pendekatan ini masih menjadi tanda tanya selepas peralihan kepada pengarah teknikal baharu, Yeoh Ken Nee.
Jika kegagalan di Kejohanan Dunia ini tidak dijadikan titik tolak untuk rombakan menyeluruh terhadap hala tuju, struktur dan keberanian mencuba, masa depan terjun negara akan terus terbenam tanpa dasar kukuh. – UTUSAN










