JDT pilihan ramai, Selangor mampu cipta kejutan

JDT pilihan ramai, Selangor mampu cipta kejutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) dianggap memiliki kelebihan besar menjelang aksi pembuka tirai Liga Super musim 2025/2026, Piala Sumbangsih menentang Selangor FC(SFC) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada Jumaat ini.

Jika rekod pertemuan sebelum ini menjadi ukuran, tentu sekali ia memihak kepada skuad Harimau Selatan yang kali terakhir tewas kepada Selangor adalah pada Ogos 2017.

Pemerhati bola sepak dan juga bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar berkata JDT boleh dikatakan memiliki 65 peratus peluang untuk bergelar juara Piala Sumbangsih, berbanding Gergasi Merah hanya 35 peratus.

Katanya, kelebihan JDT bukan hanya terletak pada status mereka sebagai juara bertahan, tetapi juga kerana kekuatan skuad bintang yang dimiliki serta kelebihan beraksi di ‘kubu kebal’ mereka.

Azlan bagaimanapun tidak menolak kemungkinan peluang 35 peratus yang diletakkan ke atas Selangor boleh berubah dan menghadirkan kejutan dalam perlawanan itu.

“Memang perlawanan ini dilihat lebih memihak kepada JDT. Selangor pula kita pun tak pasti bagaimana keupayaan sebenar pemain import mereka, namun JDT nampaknya menggunakan semaksimum mungkin kuota pemain import yang diberikan oleh MFL (Liga Bolasepak Malaysia).

“Selangor ini agak berahsia persiapan mereka. Bagi saya, peluang untuk Selangor tetap ada kerana dalam bola sepak pasukan yang paling bawah pun kadang-kadang kita lihat boleh mengalahkan pasukan paling atas,” katanya.

Azlan menjelaskan, dua perkara paling penting yang harus dilakukan skuad kendalian Katsuhito Kinoshi untuk mencipta kemenangan adalah jentera serangan perlu memanfaatkan setiap peluang tercipta manakala pertahanan harus kebal bertahan.

“Apa yang perlu Selangor lakukan adalah bermain secara berpasukan, prestasi jentera serangan harus berada pada tahap maksimum dan mereka tidak boleh berhenti menyerang. Bahagian pertahanan pula harus lebih bijak dan tidak boleh leka.

“Mereka perlu persiapkan diri, tidak boleh terlalu mudah hilang bola kerana jentera serangan JDT sentiasa bijak dalam mencari peluang dan mengatur gerakan untuk menghasilkan jaringan. Selangor harus waspada dengan kelibat Arif Aiman Hanapi,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Azlan mengharapkan mutu pengadilan yang terbaik dapat dipamerkan pengadil dalam perlawanan itu bagi mengelak sebarang kritikan daripada pelbagai pihak termasuk pasukan dan peminat.

Jelasnya, perebutan Piala Sumbangsih adalah aksi sulung musim 2025/2026 dan mutu pengadilan terbaik sangat diperlukan dalam perlawanan itu bagi memastikan perjalanan liga musim ini bermula dengan nada positif.

“Kita perlukan mutu pengadilan yang benar-benar terbaik dalam setiap perlawanan. Kita tak nak nanti orang kata rumah sudah siap, pahat masih berbunyi atau keputusan sudah ada tapi orang masih bercakap mengenai pengadil.

“Kita tidak mahu lagi ada isu yang boleh mencacatkan perjalanan liga kita musim ini. Peminat sekarang sudah pandai, apatah lagi pegawai setiap pasukan. Jadi mereka boleh menilai mengenai keputusan yang pengadil buat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×