LIVERPOOL: Pengendali Liverpool, Arne Slot mengakui gol pemain Itali, Federico Chiesa, sebagai sesuatu yang istimewa ketika pasukannya memulakan kempen Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 4-2 ke atas Bournemouth di Anfield.
Liverpool bermula cemerlang dengan mendahului 2-0 hasil jaringan pemain baharu, Hugo Ekitike pada minit ke-37 sebelum Cody Gakpo menggandakan kedudukan pada minit ke-49.
Bournemouth bangkit menerusi Antoine Semenyo, yang menjadi mangsa penghinaan berbaur perkauman pada separuh masa pertama sehingga perlawanan terhenti seketika, apabila menjaringkan gol pada minit ke-64 dan menyempurnakan gol keduanya 12 minit kemudian untuk mengejutkan penyokong tuan rumah.
Chiesa memastikan tuan rumah kembali di depan ketika permainan berbaki dua minit dan Salah memastikan kemenangan dengan jaringan dalam masa kecederaan.
“Hebat. Dia (Chiesa) dimasukkan pada penghujung perlawanan kerana kami perlukan gol. Untuk dia menjaringkan gol pada saat sebegitu memang istimewa.
“Ia lebih bermakna kerana penyokong sentiasa menyokongnya. Bagus apabila dia membalas dengan gol yang hebat,” kata Slot.
Sementara itu, jaringan minit ke-94 Mohamed Salah meletakkan penyerang Mesir itu sebaris dengan Andy Cole di tangga keempat senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Perdana Inggeris pada 187 gol.
Salah,33, turut mencipta rekod baharu sebagai pemain pertama dalam sejarah EPL dengan menjaringkan 10 gol pada aksi hari pembukaan.
Sementara itu, kapten Bournemouth, Adam Smith mengecam tindakan penyokong yang menyerang Semenyo, yang menjadi mangsa penghinaan berbaur perkauman.
“Ia langsung tidak boleh diterima. Saya benar-benar terkejut perkara seperti ini masih berlaku pada zaman sekarang.
“Saya tidak tahu bagaimana Semenyo mampu terus bermain dan menjaringkan gol. Sesuatu mesti dilakukan. Kami akan menyokongnya dan berharap dia akan baik-baik saja,” kata Smith. – AGENSI/UTUSAN










