LONDON: Pemain sayap Manchester City, Jack Grealish sanggup memotong gaji lumayannya bagi merealisasikan perpindahan secara pinjaman ke Everton pada musim ini.
Grealish memperolehi sekitar RM1.7 juta seminggu termasuk tajaan di City dan beliau bersetuju mengambil langkah drastik demi memastikan pinjaman itu dapat dijayakan.
Perjanjian tersebut juga termasuk pilihan untuk menjadikannya perpindahan tetap pada musim panas akan datang dengan nilai RM284 juta.
Grealish telah menjalani pemeriksaan perubatan bersama Everton dan menandatangani kontrak dengan harapan untuk tersenarai bagi perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Leeds United, hujung minggu ini.
Pmeain antarabangsa England itu menghabiskan sebahagian besar musim lalu sebagai pemain gantian dengan hanya tujuh penampilan sebagai pemain utama dalam liga.
Namun pengurus Everton, David Moyes meyakinkan pemain berusia 29 tahun bahawa Everton mampu memberikan peluang untuk beliau mengembalikan prestasi lamanya dan kembali merebut tempat dalam skuad Piala Dunia England kendalian Thomas Tuchel.
Perpindahan dalam kawasan Barat Laut England itu juga bermakna Grealish tidak perlu menukar tempat tinggal keluarganya.
Pemain yang dibeli dengan harga RM568 juta dari Aston Villa itu sebelum ini sudah menerima beberapa tawaran untuk meninggalkan City musim panas ini.
Grealish juga kecewa apabila diketepikan daripada skuad England untuk Kejohanan Eropah 2024 selepas kehilangan tempat tetap di bawah Guardiola.
City kini sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan penyerang Brazil milik Real Madrid, Rodrygo yang bernilai sekitar RM454 juta bagi memperkuat barisan serangan mereka. – AGENSI/UTUSAN










