PETALING JAYA: Selangor FC menjadi pasukan pertama yang sedia menyahut cabaran menamatkan penguasaan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025-2026 biarpun juara Liga Super 11 kali itu dibarisi ramai pemain warisan.
Kesediaan itu dinyatakan oleh pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi menjelang perlawanan Piala Sumbangsih menentang JDT yang akan membuka tirai di Stadium Sultan Ibrahim pada 8 Ogos ini sekali gus membuka tirai Liga Super musim baharu.
“Jadi walaupun perlawanan paling sukar, mari kita nikmati perlawanan itu. Tapi menikmati perlawanan bermaksud kita mesti berjuang 100 peratus dengan kerja keras.
“Tanpa kerja keras, kita tak boleh menikmati. Jadi, inilah persiapan kita untuk perlawanan pertama menentang JDT,” katanya.
JDT kini berwajah baharu apabila dibarisi pemain warisan kebangsaan iaitu Hector Hevel, Jon Irazabal, Nacho Mendez dan Joao Figueiredo.
Skuad kendalian kendalian Xisco Munoz itu baharu sahaja menamatkan kempen pramusim mereka di Sepanyol pada Selasa lalu selepas menundukkan kelab Arab Saudi, Al-Riyadh SC 1-0. JDT sebelum itu melakar dua kemenangan dan dua seri dalam jelajah pramusim mereka.
Sebagai rekod, JDT menjuarai Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut pada musim lalu tanpa mengalami kekalahan selepas mencatat 23 kemenangan dan seri sekali. – UTUSAN










