SINGAPURA: Qin Haiyang menghidupkan semula impian Olimpiknya dengan penuh bergaya apabila merampas gelaran dunia 100 meter (m) kuak dada lelaki pada Kejohanan Dunia Akuatik di Singapura, semalam.
Perenang China itu menewaskan juara Olimpik Paris, Nicolo Martinenghi untuk muncul juara dunia dengan catatan 58.23 saat (s), diikuti Martinenghi (58.58s) dan Denis Petrashov dari Kyrgyzstan (58.88s).
Qin yang menyapu bersih tiga acara kuak dada di Kejohanan Dunia 2023 Fukuoka, Jepun kembali menunjukkan taring selepas kegagalan mengejut di pentas Paris 2024.
“Saya sangat menantikan Los Angeles 2028. Saya perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, kerana masih banyak ketidaktentuan menanti di hadapan,” kata Qin.
Kejayaan itu bukan sekadar mengubat luka Olimpik lalu, malah menjadi emas pertama buat China dalam acara renang di kejohanan dunia tahun ini.
Martinenghi pula mengakui dia berlumba dalam keadaan tidak sihat dan hanya bergantung kepada semangat serta kekuatan mental untuk membawa pulang perak.
“Perak ini ibarat emas buat saya. Saya dah tiada apa-apa dalam badan, hanya tinggal hati dan otak,” kata Martinenghi.
Perlumbaan itu tidak disertai dua perenang yang berkongsi perak Olimpik, Adam Peaty dan Nic Fink, yang masing-masing menarik diri daripada kejohanan.
Qin turut menyifatkan kemenangannya sebagai hasil latihan keras, meskipun masih dibayangi kontroversi lama apabila namanya dikaitkan dalam skandal doping besar melibatkan 23 perenang China sebelum Sukan Olimpik Tokyo.
Sementara itu, Summer McIntosh meraih pingat emas dunia keduanya apabila menjuarai acara rampaian 200m manakala prodigi berusia 12 tahun dari China, Yu Zidi menduduki tempat keempat.
Atlet Kanada berusia 18 tahun itu menamatkan perlumbaan dalam masa dua minit 06.69 saat, diikuti Alex Walsh dari Amerika Syarikat di tempat kedua (2:08.58) dan rakan senegaranya, Mary-Sophie Harvey, di tempat ketiga (2:09.15).
Yu dari China hampir memenangi pingat dengan catatan masa 2:09.21s dan merupakan peserta terpantas dari blok permulaan dan berada di tempat ketiga sebelum prestasinya sedikit menurun di penghujung perlumbaan. – AGENSI/UTUSAN










