PETALING JAYA: Perenang negara, Khiew Hoe Yean menyifatkan kejayaan merangkul perak pada Sukan Universiti Dunia (WUG) 2025 kelmarin sebagai titik kebangkitan untuk kembali lebih kuat menjelang Sukan SEA di Bangkok, hujung tahun ini.
Atlet berusia 22 tahun itu mengakui catatan masa terbaik peribadi dan rekod kebangsaan pada kejohanan itu melonjakkan keyakinannya selepas gagal ke final pada edisi lalu.
Hoe Yean juga menjelaskan, dia bukan pilihan utama untuk menang, tetapi memilih untuk beraksi tanpa tekanan di kolam renang.
“Saya sendiri agak terkejut dengan keputusan ini sebab pada sesi pagi saya dah buat catatan terbaik musim.
“Saya hanya pastikan berenang versi terbaik diri saya dan tak fikir langsung pasal masa atau pingat. Itu yang akhirnya beri hasil.
“Saya hanya pilihan ketiga sebelum pusingan awal, dan ramai yang catat masa hampir sama. Jadi saya buang semua niat lain dan fokus lawan mereka saja,” kata Hoe Yean kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, ketua jurulatih skuad renang negara, Eric Anderson memuji mentaliti tinggi anak buahnya yang mampu tenang walaupun berdepan perenang elit dunia.
Eric menjelaskan prestasi tersebut adalah hasil daripada fasa latihan konsisten dan intensif sepanjang beberapa bulan sebelum kejohanan.
“Walaupun dia tak menang, hanya di tempat kedua, itu satu renangan yang menakjubkan menentang atlet lebih unggul di atas kertas.
“Dia betul-betul berada pada tahap terbaik sekarang, dan renangan ini letakkan dia dalam posisi ideal menuju Sukan SEA nanti,” kata Eric.
Semalam, Hoe Yean terlepas ke final dalam acara 200m individu dan kini meletakkan fokus pada acara berpasukan bagi menambah koleksi pingat di Jerman.
Selepas sekadar mara ke aksi separuh akhir acara 200m individu kelmarin, Hoe Yean kini akan memberi fokus kepada acara berpasukan dalam usahanya menambah koleksi pingat di Jerman. – UTUSAN










