MIAMI: Kecederaan ngeri yang menimpa Jamal Musiala ketika Bayern Munich berdepan Paris Saint-Germain (PSG) di suku akhir Piala Dunia Kelab, kelmarin bakal menyaksikan bintang Jerman itu akan berehat panjang.
Pemain berusia 22 tahun itu terjatuh dan mengalami kecederaan buku lali yang serius selepas bertembung dengan penjaga gol PSG, Gianluigi Donnarumma dalam perlawanan yang menyaksikan akil Perancis itu menang 2-0.
Musiala terpaksa dikeluarkan dengan pengusung dan digantikan oleh Serge Gnabry pada separuh masa kedua dan kejadian itu juga menimbukkan kemarahan pengendali Bayern, Vincent Kompany.
“Saya jarang marah sebegini ketika waktu rehat, bukan terhadap pemain saya. Ada banyak perkara dalam hidup yang lebih penting daripada ini, tetapi bagi pemain seperti mereka, bola sepak adalah hidup mereka.
“Seorang pemain seperti Musiala hidup untuk bola sepak dan dia baru sahaja kembali daripada kecederaan sebelum ini, tetapi sekarang dia harus berehat untuk tempoh yang lama lagi, tidak adil baginya” kata Kompany.
Menurut Kompany, dia pada asalnya mahu Bayern menjadikan insiden kecederaan Musiala itu sebagai motivasi untuk terus berjuang berdepan juara Eropah itu, namun perancangannya tidak menjadi.
“Kita cuba dapatkan kekuatan daripada kejadian ini kerana kita mahu lakukannya demi Musiala. Ketika saya duduk di sini sekarang, perkara yang masih buat saya marah bukanlah keputusan perlawanan.
“Saya faham ini adalah bola sepak, tetapi hakikat ia terjadi kepada seseorang yang bukan saja cintakan permainan ini, malah sangat penting untuk pasukan kami, itulah yang menyakitkan,” katanya.
Sementara itu, pemain PSG turut menzahirkan sokongan terhadap Musiala yang dianggap antara bakat muda paling menyerlah dalam dunia bola sepak ketika ini.
“Salam takziah kepada Musiala yang mengalami kecederaan serius, ini sesuatu yang tidak kita mahu lihat di atas padang,” kata pertahanan PSG, Marquinhos. – AGENSI/UTUSAN










