PETALING JAYA: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau perlu menunggu selama 10 tahun untuk mencipta sejarah menjulang trofi Ragbi Super Schools 2025 buat kali pertama selepas menewaskan Victoria Institution (VI) dalam final, kelmarin.
Kemenangan itu juga mencatat sejarah menjadi pasukan pertama daripada rangkaian MRSM yang berjaya menggenggam kejuaraan berprestij tersebut selepas menewaskan VI 14-13 yang dianggap antara pasukan terkuat dalam saingan kejohanan tahun ini.
Ketua jurulatih pasukan MRSM Balik Pulau, Mohd. Izzuwan Ahmad Sukri berkata, beliau menzahirkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan bersejarah pasukannya yang muncul juara dalam aksi akhir di Taman Ekuestrian, Putrajaya.
Katanya, kemenangan yang diraih setelah menewaskan pasukan pilihan itu, bukan mudah, malah ia datang selepas hasil usaha gigih dan latihan berterusan selama bertahun-tahun.
“Saya amat berbangga dengan kesungguhan dan semangat juang yang ditunjukkan oleh anak-anak buah saya. Mereka bermain dengan sepenuh hati dan semangat juang mereka di padang begitu luar biasa.
“Kejayaan ini bukan datang dalam sekelip mata, tetapi hasil daripada dedikasi jangka panjang seluruh pasukan dan sokongan padu daripada pihak pengurusan MARA yang tidak pernah jemu membangunkan sukan ragbi di peringkat MRSM,” katanya.
Mohd. Izzuwan turut menyifatkan kejayaan menundukkan VI 14-13 dalam aksi dramatik itu sebagai bukti tiada impian yang mustahil dicapai jika disertai usaha dan keyakinan.
“Hari ini kami buktikan, dengan usaha, disiplin dan kepercayaan terhadap kemampuan sendiri, tiada yang mustahil,” ujarnya. – UTUSAN










