Harimau Malaya terlepas peluang uji Iran

Harimau Malaya terlepas peluang uji Iran

Peter Cklamovski
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya terpaksa melepaskan peluang keemasan menguji pasukan hebat seperti Iran dan Tajikistan selepas menarik diri daripada Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025 pada Ogos ini.

Faktor logistik di samping penganjuran CAFA di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menyebabkan skaud bimbingan Peter Cklamovski itu sukar mengumpulkan skuad terbaik untuk kejohanan dari 26 Ogos hingga 9 September itu.

Cklamovski menyifatkan keputusan itu sebagai kekecewaan besar buat pasukannya cukup bersemangat untuk turun beraksi pada Piala CAFA 2025.

Menurut Cklamovski, kekangan utama yang memaksa mereka menarik diri ialah jadual kejohanan yang berlangsung di luar kalendar rasmi FIFA, sekali gus menyukarkan Harimau Malaya menurunkan skuad terbaik dalam dua aksi peringkat awal kumpulan.

“Satu keputusan yang mengecewakan. Kami benar-benar teruja untuk menyertai kejohanan ini kerana ia peluang keemasan untuk menguji diri menentang pasukan bertaraf tinggi seperti Iran dan Tajikistan.

“Kami ada berbincang untuk hanya beraksi dalam tempoh kalendar FIFA seperti yang dicadangkan, namun dari segi logistik, ia menjadi terlalu rumit terutama selepas undian kumpulan telah pun dijalankan,” katanya ketika ditemui media.

Berikutan aksi di luar kalendar FIFA, Harimau Malaya tidak dapat memanggil barisan pemain utama, khususnya mereka yang kini beraksi di luar negara seperti Sepanyol, Argentina dan Colombia.

“Situasi ini sangat mencabar. Saya tidak mahu ke sana tanpa kekuatan penuh. Kita bertanding bukan sekadar untuk menyertai, tetapi untuk memenangi Piala CAFA 2025.

“Kalau kita tidak dapat turunkan pemain terbaik, termasuk bintang-bintang yang bermain di luar negara, maka penyertaan itu jadi kurang bermakna. Saya mahu pemain cukup bersedia, bukan sekadar hadir mengisi jadual,” kata jurulatih dari Australia berusia 45 tahun itu.

Cklamovski juga menegaskan bahawa beliau tidak mahu berkompromi dari segi persiapan dan komitmen pemain, apatah lagi misi skuad kebangsaan kini lebih besar menjelang kelayakan Piala Asia 2027 dan Piala Dunia 2030.

“Saya fikir, ini adalah keputusan yang wajar. Kita perlu utamakan kepentingan jangka panjang pasukan dan pastikan bila turun ke padang, kita benar-benar bersedia, bukan sekadar buat syarat,” jelasnya.

Meskipun keputusan berkenaan bakal mengecewakan peminat bola sepak tempatan tetapi ia jelas menggambarkan betapa seriusnya perancangan jangka panjang Harimau Malaya untuk mengukuhkan status mereka di peringkat Asia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN