LONDON: Arsenal secara rasmi mengumumkan penyerang Sweden, Viktor Gyokeres dari Sporting Lisbon menyertai skuad The Gunners bagi memperkukuhkan jentera serangan pasukan bagi memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.
Gyokeres, 27, membantu Sporting menjuarai liga Portugal musim lalu dengan 39 gol dilaporkan menandatangani kontrak lima tahun dalam perpindahan bernilai 57.4 juta pound (RM373 juta) pada peringkat awal.
Perpindahan Gyokeres dijangka boleh mencecah sehingga 66.4 juta pound (RM376 juta) dengan tambahan berdasarkan prestasi, menjadikan jumlah perbelanjaan Arsenal dalam musim perpindahan ini kepada sekitar 200 juta pound (RM1.1 bilion).
“Untuk datang ke kelab pada tahap seperti Arsenal, saya rasa ia akan membantu saya bermain dengan lebih baik bersama semua pemain hebat dalam pasukan ini. Saya benar-benar teruja untuk bermula.
“Saya rasa ini adalah kelab yang tepat untuk saya. Ketika saya bermain menentang Arsenal musim lalu, saya benar-benar dapat merasakan ia adalah pasukan yang sangat kuat dan sangat sukar untuk dihadapi.
“Saya sentiasa mahu menjaringkan gol. Untuk menjadi sebahagian daripada kelab ini dan menjaringkan gol dalam jersi ini dan dengan lambang ini di hadapan semua penyokong, saya tidak sabar. Ia akan menjadi satu perasaan yang menakjubkan,” kata Gyokeres.
Gyokeres pemain keenam yang dibawa masuk oleh Mikel Arteta pada musim panas ini selepas pertahanan, Cristhian Mosquera, pemain tengah, Martin Zubimendi dan Christian Norgaard, penjaga gol, Kepa Arrizabalaga serta penyerang, Noni Madueke menyertai ke Emirates. – AFP/UTUSAN










