NEW YORK: Pengendali Fluminense, Renato Portaluppi berjaya membentuk wakil Brazil itu menjadi ‘pembunuh’ pasukan gergasi dalam Piala Dunia Kelab.
Percaturan Portaluppi sekali lagi bakal menjadi tumpuan awal pagi esok, apabila kelab bukan pilihan pada awal saingan itu akan berdepan Chelsea dalam separuh akhir.
Sebelum ini, jurulatih berusia 62 tahun itu berjaya memimpin Fluminense menewaskan naib juara Liga Juara-Juara, Inter Milan di pusingan 16 dan Al-Hilal di suku akhir.
Sebelum menyertai Fluminense, Portaluppi adalah antara figura paling terkenal dan kontroversi dalam bola sepak Brazil, khususnya di peringkat kelab.
Ketika mengambil alih kelab itu, mereka hampir tersingkir daripada liga utama Brazil, namun kini, reputasinya meningkat apabila membawa pasukan itu ke separuh akhir.
“Aksi separuh akhir pastinya menarik, tetapi saingan di peringkat ini pastinya sukar. Para pemain sudah bersedia dan mereka akan buktikan segalanya nanti.
“Apa yang kami capai ketika ini adalah berkat kerja sepasukan. Pemain bekerja keras untuk bangkit menumpaskan lawan di saingan kalah mati,” kata Portaluppi.
Bekas penyerang yang menjaringkan hampir 200 gol sepanjang karier tidak pernah lekang daripada kontroversi dan pernah menyatakan dirinya lebih hebat daripada Cristiano Ronaldo.
Aksinya yang paling diingati termasuk jaringan menggunakan perut yang menjadi gol paling bersejarah dalam bola sepak Brazil iaitu gol kemenangan yang menjulang Fluminense sebagai juara Kejohanan Negeri Rio de Janeiro 1995 dalam kemenangan dramatik 3-2 ke atas Flamengo. – AGENSI/UTUSAN










