Dhabitah kembali akhir bulan ini

Dhabitah kembali akhir bulan ini

NUR DHABITAH SABRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ratu terjun negara, Nur Dhabitah Sabri disahkan akan kembali menjalani latihan bersama skuad kebangsaan bermula hujung Julai ini selepas berehat panjang daripada sebarang aksi kompetitif.

Perkara itu disahkan Pengarah Teknikal Terjun Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Yeoh Ken Nee yang menyatakan atlet berusia 26 tahun itu sudah bersedia untuk kembali ke kolam latihan.

“Ya, dia akan kembali menyertai latihan pada penghujung bulan ini.

“Dhabitah berkemungkinan tidak akan menyertai mana-mana kejohanan musim ini dan hanya akan berlatih untuk mencapai prestasinya semula,” kata Ken Nee kepada Utusan Malaysia.

Ken Nee menjelaskan, pemenang pingat perak Sukan Asia 2022 itu tidak akan menyertai mana-mana kejohanan sepanjang tahun ini selepas gagal melengkapkan kriteria Skor Kelayakan Minimum (MQS) yang menjadi syarat utama ke pentas antarabangsa.

Ketiadaannya dalam senarai ke Kejohanan Dunia di Singapura dari 26 Julai hingga 3 Ogos ini turut menamatkan spekulasi mengenai penyertaannya selepas beliau tidak bertanding dalam mana-mana kejohanan sejak November lalu.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Majlis Sukan Negara (MSN) mengesahkan Dhabitah telah menghubungi mereka minggu lalu bagi menyatakan hasrat untuk kembali menjalani latihan.

Dalam pada itu, Dhabitah juga tidak akan dipertaruhkan ke Sukan SEA 2025 di Thailand memandangkan tuan rumah hanya menganjurkan acara platform wanita, bukan papan anjal yang menjadi kepakarannya.

Ken Nee menjelaskan pasukan negara bagi edisi kali ini turut memberi keutamaan kepada penerjun muda yang telah melayakkan diri menerusi pencapaian MQS dalam kejohanan terdahulu.

“Untuk Sukan SEA kami akan memilih atlet yang melepasi MQS. Kami akan cuba menghantar atlet pelapis berbanding elit untuk memberi pengalaman kepada mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN