PETALING JAYA: Ketiadaan tiga pasukan beridentitikan negeri dalam saingan Liga Super musim 2025-2026 dijangka menjatuhkan nilai popularitinya sendiri apabila penyokong bola sepak tempatan diramal mengubah selera mereka kepada Liga A1 Semi-Pro.
Kedah Darul Aman (KDA) FC, Perak FC disahkan tidak bertanding dalam saingan tertinggi Liga Malaysia (Liga M) itu selepas mengesahkan penyertaan mereka di Liga A1 Semi-Pro musim depan dan kelmarin, Sri Pahang FC pula mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Super.
Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli tidak menolak senario tersebut bakal berlaku dalam kalangan peminat bola sepak tempatan memandangkan saingan Liga Super sudah ada skripnya.
“Memang liga kita profesional tetapi nak kikis imej negeri bukan mudah. Saya tidak menolak kemungkinan Liga A Semi-Pro yang akan mencuri tumpuan sebab keputusan perlawanan tak boleh nak diramal.
“Liga Super, kita boleh ramal siapa yang akan menang dan pasukan mana yang akan kalah tetapi Liga A Semi-Pro tidak, macam-macam boleh berlaku,” katanya.
Kelmarin, skuad Tok Gajah yang menerima lesen kebangsaan musim 2025-2026 membuat keputusan tidak bertanding dalam Liga M dengan mengemukakan surat pengesahan bertarikh 16 Jun sekali gus menjadikan hanya 13 pasukan sahaja bertanding.
Bagaimanapun, Pekan berkata daripada segi jumlah minit permainan tidak akan dihadapi oleh pemain memandangkan pada musim lalu turut disertai 13 pasukan.
“Betul, memang tak jejas sebab tahun lalu pun 13 pasukan juga tetapi kali ini Perak, Kedah dan Pahang tak ada. Memang hilanglah seri Liga Super. Kena ada kesedaran daripada MFL (Liga Bolasepak Malaysia),” katanya. – UTUSAN










