Kenapa A'mmarul pilih 'Kiat Takoon'

Kenapa A’mmarul pilih ‘Kiat Takoon’

A’mmarul Syafiq Ubaidillah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘KIAT Takoon’, atau nama sebenarnya A’mmarul Syafiq Ubaidillah merupakan atlet muda negara yang semakin menyerlah di pentas seni bela diri antarabangsa, Muay Thai. 

Walaupun namanya belum sebaris jaguh-jaguh ternama, kisah pengorbanan dan semangat juangnya menjadikan perjalanan kariernya wajar diberi perhatian.

“A’mmarul seorang ‘family man’, jadi berjauhan dengan keluarga sangatlah sukar buat saya,” katanya.

Saban hari, hidupnya bergelut antara latihan intensif, penat mental dan fizikal, serta rindu yang tak pernah surut terhadap keluarga tercinta. 

Di saat rakan-rakan lain bersiap menyambut Aidilfitri bersama insan tersayang, A’mmarul pula terpaksa mengetepikan detik bermakna itu demi persiapan ke gelanggang.

“Pernah satu tahun tu, saya sambut hari raya seorang diri. Ketika orang lain berkumpul, saya berlatih. Bukan mudah, tapi saya tahu ini pengorbanan yang saya pilih,” ujarnya.

Bagi petinju berusia 23 tahun itu, keluarga adalah nadi perjuangan dan setiap langkah ke gelanggang membawa harapan serta doa mereka. Justeru, kehilangan masa bersama keluarga adalah harga mahal yang perlu dibayar demi cita-cita yang  perlu digenggam erat.

Pengorbanan tersebut semakin terasa baginya apabila insan yang paling berpengaruh dalam hidupnya merupakan bapanya sendiri, Ubaidillah Ab Latif, yang juga merupakan bekas atlet bina badan negara dan kini sepenuhnya mewarisi ilmu tersebut kepada anaknya dengan menjadi jurulatih serta mentor kepada A’mmarul.

“Dia merupakan tulang belakang dalam kerjaya saya dalam dunia sukan tempur ini, dia tak pernah berhenti mencari peluang untuk saya berkembang dalam sukan ni.

“Setiap kali saya kalah, dia akan beri motivasi dan mendorong saya untuk mencuba melampaui batas kemampuan agar bukan sekadar untuk jadi petarung yang lebih baik, tapi juga insan yang lebih matang serta anak yang baik,” katanya kepada Mingguan Malaysia. 

Pengorbanan itu akhirnya terbalas apabila dia berjaya melakar sejarah dengan memenangi dua kejohanan berprestij dalam satu hujung minggu, iaitu Kejohanan Ultimate Warrior Kickboxing Malaysia 2023 dan final Kejohanan Kuda Merah Muay Thai 2023 menentang Afghanistan.

“Saya bertanding dalam dua pertandingan yang berbeza dalam satu minggu, Alhamdulillah, kedua-dua kejohanan tu saya menang dan bawa balik dua tali pinggang.

“Ketika itu, A’mmarul perlu menyesuaikan diri untuk berdisiplin dalam beberapa seni mempertahankan diri yang berbeza, saya perlu berdepan dengan lima perlawanan (dua profesional dan tiga semi profesional) dalam satu minggu,” tambahnya. 

Turut membanggakan apabila baru-baru ini, atlet kelahiran Selangor itu, muncul juara bagi kategori terbuka 72 kg menewaskan Corey Barrett dari Australia melalui keputusan sebulat suara dalam Kejohanan Muay Thai Piala TYT di Waterfront, Kuching, Sarawak pada 4 Mei lalu.

Tambah lagi, dia turut mencipta sejarah di pentas antarabangsa apabila berjaya menewaskan wakil tuan rumah, Laka Sasongko menerusi kemenangan ‘Technical Knockout’ (TKO) dalam pertarungan sengit pada Kejohanan Byon Madness di Indonesia, April lalu.

Senjata utama yang mengunci kemenangan kejohanan tersebut adalah dia menggunakan teknik serangan jarak jauh meskipun terpaksa bertarung dalam keadaan belum pulih sepenuhnya akibat kecederaan pertarungan Kejohanan Beyond Madness Indonesia. 

Nama gelanggangnya, Kiat Takoon, juga lahir daripada semangat keluarga. Dalam bahasa Thai, ia bermaksud ‘Maruah Keturunan’” yang merupakan satu simbolik yang menjadi nadi semangatnya setiap kali melangkah ke gelanggang.

“Bila saya berlawan, saya tak bawa nama sendiri sahaja. Saya bawa maruah keluarga, adik-beradik, keturunan. Sebab tu saya akan bagi sepenuh jiwa dalam setiap pertarungan,” jelasnya.

Sebelum berkecimpung dalam Muaythai, juara dunia Muay Thai IFMA Grandslam 2022 berkata, dia mengikuti jejak langkah ayahnya untuk menjadi atlet ‘men physique, namun usahanya terpaksa dihentikan kerana pandemik Covid-19.

“Dahulu saya bermula dengan berat 60 kilogram (kg) dan dalam masa dua tahun, saya berjaya tambah 15 kg jisim otot. Tapi bila pandemik melanda, gym tutup, pendapatan pun terjejas. 

“Saya terpaksa hentikan kerana sukan bina badan memang memerlukan penjagaan diet yang rapi sebab kena makan lapan kali sehari, belanja suplemen pun bukan sedikit,” katanya. 

Kini, dengan sokongan keluarga dan semangat yang tidak pernah luntur, A’mmarul terus melangkah jauh dan dia antara atlet muda yang diberi kepercayaan dalam program pembangunan sukan tempur negara, selari dengan usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk melahirkan lebih ramai peninju Malaysia di pentas dunia.

A’mmarul bakal kembali beraksi di gelanggang dalam Kejohanan MFN Combat Sports 2025 dalam kategori catchweight 71 kg di Multimedia Universiti (MMU), Cyberjaya, hari ini. – UTUSAN

Biodata

Nama: A’mmarul Syafiq bin Ubaidillah

Nama Gelanggang: Kiat Takoon

Umur: 23 tahun

Tarikh lahir: 27 Jun 2001

Asal: Gombak, Selangor

Pendidikan: Sains Sukan (sukan tempur) 

Gym/Persatuan: Gorilla Selangor

Karier: Atlet seni bela diri tempur profesional

Pencapaian :

– 5 kali Juara Kebangsaan Muay Thai

– ⁠2 kali Juara Kebangsaan Kickboxing

– ⁠Juara Dunia Muay Thai IFMA Grandslam 2022

– ⁠Juara Kejohanan Kuda Merah Muay Thai 2023

– ⁠Juara Kejohanan Ultimate Warrior Kickboxing Malaysia 2023

– ⁠Juara di Kejohanan Byon Madness 2025 menewaskan Laka Sasongko (Indonesia) menerusi TKO

– ⁠Juara Kejohanan Muay Thai Piala TYT 2025 (kategori 72 kilogram)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN