PETALING JAYA: Skuad muay thai kebangsaan melakar kejutan apabila berjaya membawa pulang dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa di Kejohanan Muaythai Asia IFMA 2025 di Thai Nguyen, Vietnam.
Pingat emas pertama dimenangi menerusi Mohd Wassof Rumijam dalam acara 54 kilogram (kg) kelmarin dan semalam, Yan Jia Chi menambah koleksi emas negara menerusi acara Wai Kru dengan kutipan mata tertinggi 9.53.
Presiden Persatuan Muay Thai Malaysia, Datuk Shahnaz Azmi berkata, dua pingat perak pula disumbangkan oleh Asyraf Danial dan juga Eva Anatasia Warren dalam kategori 48kg, sekali gus melengkapkan pencapaian cemerlang Malaysia.
“Pencapaian kali ini bagi saya agak mengejutkan kerana kita sebenarnya menghantar skuad kedua untuk acara tempur kerana petarung kita seperti Rifdean Masdor, Miki (Mikail Ghazali Zulfikar) dan Iman Aliff Rakib ada komitmen lain.
“Tetapi apa yang membanggakan adalah atlet seperti Wassof membuktikan kewibawaannya apabila berjaya menumpaskan petarung-petarung yang lebih berpengalaman daripadanya untuk menang emas.
“Wassof terpaksa bertanding dalam kategori 54kg selepas kategori asalnya 48kg-51kg bakal disertai Rifdean pada Sukan SEA SEA akan datang. Perubahan ini tidak menjejaskan persembahan beliau apabila tampil cemerlang.
“Untuk ke Sukan SEA, Wassof akan bersaing berebut tempat dengan Miki dan kita belum buat sebarang keputusan lagi dan pencapaian ini akan menjadi salah satu ukuran pemilihan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas pencapaian Jia Chi atau lebih dikenali sebagai Angie, Shahnaz berkata, atlet kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu menepati status sebagai juara dunia apabila meraih emas dengan pungutan 9.53 mata.
“Angie adalah juara dunia bawah 23 tahun untuk tiga kali berturut turut selain juara remaja dunia dan juara World Combat Games dalam disiplin seni Muaythai. Ini menjadi persiapan terbaik untuk dirinya ke Sukan SEA nanti,” katanya.
Ditanya mengenai ganjaran kepada atlet, Shahnaz berkata, atlet akan menerima insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) dengan RM10,000 diperuntukkan untuk pemenang pingat emas. – UTUSAN










