PETALING JAYA: Kem terjun negara mengakui barisan pelapis masih belum mencapai tahap konsisten untuk menggugat dominasi peringkat tertinggi terutamanya pada Kejohanan Dunia di Singapura pada 11 Julai hingga 3 Ogos ini.
Pengarah Teknikal Terjun Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Yeoh Ken Nee berkata, Malaysia ketika ini hanya mampu bersandarkan kepada pengalaman Datuk Pandelela Rinong yang mempamerkan prestasi meyakinkan selepas kembali pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
Ketiadaan ratu papan anjal negara, Nur Dhabitah Sabri yang mengambil cuti panjang musim ini memaksa MAS untuk menyandarkan kilauan pingat kepada penerjun berusia 32 tahun itu.
“Sekarang kita fokus pada Pandelela kerana Dhabitah sedang bercuti panjang selepas Sukan Olimpik Paris untuk pulihkan kecederaan dan kondisi badan.
“Pandelela telah sertai beberapa kejohanan sejak awal tahun, dan ketika ini dia bebas kecederaan serta menunjukkan konsistensi dalam terjunan menjelang Kejohanan Dunia,” kata Ken Nee.
Penerjun kelahiran Bau, Sarawak itu mengalami kecederaan otot pada Kejohanan Piala Dunia Terjun di Kanada pada April lalu yang menyaksikan beliau menduduki tempat ke-20 daripada 21 atlet yang bertanding.
Bagaimanapun, Ken Nee menjelaskan keutamaan diberikan kepada aspek pemulihan fizikal termasuk fisioterapi yang kini menjadi sebahagian penting dalam persediaan Pandelela ke kejohanan besar.
Dalam pada itu, Ken Nee mendedahkan bahawa jurang antara skuad pelapis dan senior masih lebar, sekali gus menyukarkan proses peralihan generasi seperti era kegemilangan 10 tahun lalu.
Beliau menjelaskan sistem pemilihan kini lebih ketat dengan penerjun perlu memenuhi Skor Kelayakan Minimum (MQS) sebanyak tiga kali untuk melayakkan diri ke kejohanan utama.
“Dulu kita boleh hantar 10 hingga 12 penerjun ke Olimpik atau Kejohanan Dunia, tapi sekarang semuanya bergantung pada data dan MQS, bukan lagi berdasarkan jurulatih,” katanya.
MQS merupakan penanda aras utama yang ditetapkan oleh MAS dalam menentukan atlet terjun yang layak mewakili negara di kejohanan antarabangsa termasuk Kejohanan Dunia dan Sukan SEA Thailand 2025. – UTUSAN










