FAM belum putus status Pestabola Merdeka

FAM belum putus status Pestabola Merdeka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih belum membuat keputusan berhubung penganjuran Pestabola Merdeka 2025 memandangkan perlu mengambil kira pelbagai faktor.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Datuk Zainal Abidin Hassan berkata, pihaknya perlu menilai jadual Liga Malaysia (Liga M), kejohanan Asia seperti Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan kelab-kelab ASEAN.

Ujarnya, biarpun Pestabola Merdeka itu dilangsungkan pada jendela antarabangsa, sudah tentu barisan kejurulatihan negara turut memiliki perancangan tersendiri selain isu kepenatan pemain juga perlu diambil kira.

“Bagi saya jadual begitu padat dengan Piala Shopee (saingan kelab ASEAN), pasukan ACLE dan juga pasukan kebangsaan. Jadi di sini mungkin nampak padat, jadi saya rasa belum ada keputusan lagi.

“Tetapi mereka (FAM) akan meneliti sebaik-baik mungkin di dalam Pestabola Merdeka ini dan untuk pasukan kebangsaan. Jadi saya rasa keputusan ini perlu diambil kira dan juga diteliti dengan baik sebelum mengadakan sesuatu kejohanan.

“Ia kerana pemain perlu masa contohnya untuk berehat dan fokus kepada kejohanan Asia. Jadi kita di sini kena teliti sebaik mungkin sebelum kita nak menganjurkan sesuatu,” katanya.

Saingan Pestabola Merdeka kembali dianjurkan sejak dua tahun lalu bermula 2023 selepas kali terakhir diadakan pada 10 tahun lalu.

Pada 2023, Tajikistan muncul juara selepas menewaskan Harimau Malaya di pentas final sebelum tahun lalu menyaksikan Malaysia kembali bergelar juara dengan menewaskan Lubnan 1-0 di final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ia adalah gelaran ke-13 selepas 43 edisi sejak kali pertama dianjurkan pada 1957 di mana saingan Pestabola Merdeka dianggap sebagai antara kejohanan tertua di benua ini.

Lazimnya Pestabola Merdeka dianjurkan pada Ogos atau September dan tahun ini, Harimau Malaya dijadualkan menyertai kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025 yang dijangka berlangsung pada bulan yang sama.

Penyertaan itu menyaksikan skuad kendalian Peter Cklamovski akan menghadapi cabaran baharu lebih sukar yang mana kejohanan berkenaan bakal menghimpunkan lapan pasukan ternama termasuk Iran dan Uzbekistan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN