Dhabitah bakal beralih ke profesional? 

Dhabitah bakal beralih ke profesional? 

NUR DHABITAH SABRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ratu terjun negara, Nur Dhabitah Sabri mungkin membuat keputusan besar dengan meninggalkan kem kebangsaan dan bergerak secara profesional dalam karier terjunnya.

Difahamkan, perancangannya selepas berehat panjang musim ini termasuk kemungkinan tidak lagi bernaung di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) atau Persekutuan Renang Malaysia (MAS) untuk berlatih secara bebas.

Pengarah teknikal terjun kebangsaan, Yeoh Ken Nee berkata, pemenang dua pingat perak Sukan Asia itu berkemungkinan akan berlatih di bawah jurulatih yang lain dan masih dalam perbincangan mengenai perkara itu.

“Dhabitah akan berlatih dengan jurulatih yang lain, bukan dibawah kendalian saya. Apa pun perkara ini masih dalam perbincangan,” kata Ken Nee kepada Utusan Malaysia.

Sejak Terbuka Malaysia, November lalu, Dhabitah tidak menyertai sebarang kejohanan termasuk Kejohanan Dunia di Singapura bulan depan meskipun merupakan penerjun wanita terbaik negara dalam acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita.

Malah, Ken Nee turut mengesahkan bahawa Dhabitah tidak berlatih di bawah kendaliannya sejak dilantik ke jawatan itu pada Mac lalu.

“Ini saya tak pasti (laluan ke profesional), sebab sekarang ini memang waktu dia berehat. Saya pun tak dengar banyak berita dari dia. 

“Hujung Julai nanti baru saya boleh sahkan lebih lanjut bila dia kembali,” katanya.

Selepas menyapu bersih tiga pingat emas di Terbuka Malaysia 2024, Dhabitah mengambil keputusan untuk berehat atas sebab peribadi.

Bagaimanapun, Utusan Malaysia pada Selasa lalu melaporkan bahawa penerjun berusia 26 tahun itu akan kembali ke kolam pada hujung Julai ini selepas berehat hampir 8 bulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×