KUANTAN: Masa depan skuad Sri Pahang masih menjadi tanda tanya berikutan belum memutuskan sama ada kekal bersaing atau tidak dalam saingan utama Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Masih terlalu awal untuk merumuskan Tok Gajah akan mengikut jejak langkah Perak FC yang menarik diri musim depan dari saingan Liga M.
Difahamkan, Naib juara Piala Malaysia musim 2024/2025 itu masih berunding dengan pihak-pihak tertentu untuk mencari penyelesaian terbaik demi masa depan bola sepak Pahang.
Sumber memaklumkan, selepas tamat Piala Malaysia, Sabtu lalu, skuad dan pengurusan Sri Pahang mahu berehat seketika sebelum menyelesaikan beberapa isu berbangkit.
“Buat ketika ini berilah peluang Sri Pahang berehat sebentar, ambil nafas buat seketika.
“Selepas ini, pasukan akan berusaha semula untuk mencapai semua matlamat-matlamat kita,” kata sumber itu kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, terdapat dakwaan pasukan dari Pantai Timur itu tidak akan menyertai saingan Liga Super musim depan kerana isu kewangan.
Mengulas lanjut, sumber itu berkata, semua pihak diminta bersabar kerana Sri Pahang pasti akan memaklumkan tentang masa depan Tok Gajah.
Kata sumber itu lagi, kenyataan rasmi akan dikeluarkan kelak apabila perbincangan tentang masa depan skuad Sri Pahang diadakan dan keputusan muktamad diputuskan.
“Insya-Allah kita doa yang terbaik demi masa depan skuad Sri Pahang,” kata sumber itu. – UTUSAN










