Sampai bila mahu manjakan atlet

Sampai bila mahu manjakan atlet

JAMAICA diketahui memiliki sejarah pencapaian olahraga yang hebat dan corak latihan keras. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Pendekatan segelintir pihak yang enggan meletakkan tekanan kepada atlet semata-mata mahu menjaga emosi mereka adalah alasan lapuk yang tidak relevan dalam era sukan sekarang.

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, pendekatan tersebut bukan sahaja mengekang potensi sebenar atlet, malah menghalang negara daripada meraih kejayaan dalam bentuk pingat dalam mana-mana kejohanan antarabangsa termasuk di pentas Olimpik.

“Kita sudah labur ratus juta dalam sukan, tapi masih tiada hasil di Olimpik. Kalau pendekatan kita masih tidak boleh beri tekanan kepada atlet konon nak jaga emosi, sampai bila kita nak menang pingat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pekan berkata, pembentukan atlet berjiwa kental dan berdaya saing tinggi hanya boleh dicapai jika mereka dibiasakan dengan tekanan serta mempunyai sasaran yang jelas sejak awal.

“Sukan ini bukan sekadar nak catat pencapaian peribadi terbaik, tapi nak menang pingat. Kalau asyik guna alasan tersebut untuk elak daripada kecaman, sampai bila kita nak juara dunia atau menang emas di Olimpik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pekan turut mengkritik budaya segelintir persatuan dan atlet yang terlalu berpuas hati dengan pencapaian peribadi seperti memperbaiki catatan terbaik sendiri (personal best) yang hanya memberi gambaran palsu mengenai kemajuan sukan negara.

“Kalau kita sekadar ‘personal best’ saja, tidak cukup. Kita kena tengok juga di mana indeks pencapaian terbaik itu, adakah pecah rekod itu bersaing di peringkat rantau Asia Tenggara, Asia atau dunia?

“Pencapaian peribadi hanyalah satu motivasi diri. Jangan anggap bila atlet kita menyertai pelbagai kejohanan dan capai catatan terbaik, itu sudah cukup untuk menunjukkan kemajuan,” tegasnya.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat menggesa semua ‘badang’ negara untuk mula memenangi pingat dan menganggap rekod kebangsaan tidak bermakna sekiranya mereka gagal menjejakkan kaki ke podium di kejohanan peringkat kebangsaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini