KUALA LUMPUR: Pengarah kejurulatihan perseorangan badminton negara, Kenneth Jonassen mengesahkan kecederaan Ng Tze Yong bukan berpunca daripada keletihan, sebaliknya disebabkan tergelincir ketika beraksi di pusingan pertama Malaysia Masters, kelmarin.
Insiden berlaku ketika pemain berusia 25 tahun itu sedang mendahului 4-3 pada set kedua menentang pemain Hong Kong, Angus Ng, selepas memenangi set pertama 22-20, sebelum dia kelihatan memegang lutut kanan dan terpaksa menarik diri daripada pertarungan.
Jonassen berkata, semua kejohanan yang disertai sejak kembali daripada kecederaan belakang adalah peluang untuk menilai tahap sebenar Tze Yong secara fizikal.
“Ia bukan akibat penat, tetapi kerana tergelincir. Kalau perlawanan berlanjutan ke set ketiga, mungkin keletihan boleh jadi faktor, tetapi bukan dalam situasi ini.
“Setiap perlawanan membantunya belajar di mana tahap dia berada. Ianya proses cuba jaya,” kata Jonassen kepada pemberita selepas perlawanan, kelmarin.
Pada awal 2024, pemain kelahiran Johor itu pernah menjalani dua pembedahan dan terpaksa disisihkan hampir setahun daripada sebarang kejohanan selepas mengalami kecederaan belakang di Terbuka Malaysia 2024.
Dia hanya kembali beraksi bulan lalu di Kejohanan Badminton Asia (BAC) sebelum mencuba nasib pada Terbuka Taiwan dan Terbuka Thailand, namun terkandas seawal pusingan pertama di kedua-dua kejohanan tersebut.
Dalam pada itu, Jonassen juga akui kecewa dengan hari yang sukar buat kem perseorangan negara selepas tiga lagi pemain, Leong Jun Hao, Justin Hoh dan K. Letshanaa turut tersingkir seawal pusingan pertama.
Namun beliau tetap memuji semangat juang dipamerkan barisan pemain meskipun keputusan tidak menyebelahi mereka dalam kejohanan kali ini.
“Sudah tentu saya tidak berpuas hati, tetapi saya suka semangat melawan ditunjukkan. Namun realitinya, kita ke sini untuk menang perlawanan badminton,” katanya. – UTUSAN










