PETALING JAYA: Skuad karate negara mempamerkan prestasi cemerlang apabila membawa pulang satu perak dan satu gangsa dalam Kejohanan Karate Asia (AKF) 2025 yang diadakan di Tashkent, Uzbekistan, kelmarin.
Pingat perak dibawa pulang oleh jaguh karate wanita negara, C. Shahmalarani dalam acara kumite bawah 50 kilogram (kg) selepas tewas 7-1 kepada wakil tuan rumah, Gulshan Alimardanova dalam aksi final di Kompleks Sukan Yunusobod.
Hasrat atlet berusia 26 tahun itu untuk menambah satu lagi pingat dalam acara kumite wanita berpasukan tidak kesampaian apabila terpaksa berpuas hati di kedudukan kelima.
Gangsa pula hadir menerusi K.S. Thevendran bagi acara kumite lelaki bawah 55 kg selepas tewas kepada Gigabyl Zholaman dari Kazakhstan 7-1 dalam aksi separuh akhir.
Mengulas lanjut, Shahmalarani mengakui kejayaan tersebut bersifat terlalu peribadi buat dirinya apabila ia tidak hadir dalam sekelip mata sebaliknya menuntut banyak pengorbanan daripadanya.
“Kemenangan ini sangat peribadi, ia lebih daripada sekadar pingat. Ini adalah satu kejayaan besar.
“Jatuh tujuh kali, bangkit lapan kali. Memang betul, saya melakukan tujuh penampilan di AKF untuk akhirnya memecahkan kemarau 13 tahun dan membawa Malaysia kembali ke final AKF.
“Ini bukan kejayaan yang datang dalam sekelip mata. Ia mengambil masa bertahun-tahun dengan penuh ketabahan, lima kali tersingkir awal, dan setiap satu daripadanya menjadi pengajaran tentang kesabaran, semangat juang, dan pembangunan.
“Selepas pelbagai dugaan, akhirnya saya sampai ke detik yang saya impikan selama ini,” tulis Shahmalarani di akaun Facebook miliknya.
Dalam pada itu, Shahmalarani turut berkata dia tidak akan cepat berpuas hati dengan kejayaan tersebut sebaliknya terus fokus bagi memburu gelaran dalam kejohanan seterusnya.
“Ini bukan penamat! Saya sentiasa lapar untuk kejayaan yang lebih besar dan didorong untuk mengejar kegemilangan yang lebih tinggi kerana matlamat utama saya adalah untuk membina legasi yang kekal,” katanya. – UTUSAN










