City, Chelsea, Newcastle layak ke Liga Juara-Juara

City, Chelsea, Newcastle layak ke Liga Juara-Juara

AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Manchester City, Chelsea dan Newcastle United mengesahkan slot ke saingan Liga Juara-Juara Eropah musim depan menerusi perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.

Liverpool dan Arsenal terlebih dahulu mengesahkan tempat dalam Liga Juara-Juara setelah menamatkan saingan di dua tangga teratas, manakala Tottenham Hotspur turut menjadi wakil England selepas memenangi Liga Europa pada Khamis lalu.

City memastikan musim yang mengecewakan tidak berakhir dengan kehampaan apabila menewaskan Fulham 2-0 untuk menamatkan saingan di tangga ketiga, sekali gus layak ke Liga Juara-Juara buat musim ke-15 berturut-turut.

“Ia seperti satu gelaran kerana segala rintangan yang kami hadapi. Apabila anda terus bergelut, anda boleh berakhir di tangga ke-10, 11, 12 atau 13.

“Itulah yang berlaku kepada banyak pasukan dalam EPL apabila tiba bulan November, Disember atau Januari, dan tidak lagi mampu bersaing untuk kejuaraan seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Sesetengah orang mungkin berkata saya tidak mahu terus berjuang, cukup sekadar layak ke Liga Europa. Tapi kami tetap bermain dengan baik dan menamatkan saingan di tangga ketiga, sekali gus layak ke Liga Juara-Juara. Kami berjaya melakukannya,” kata pengendali City, Pep Guardiola.

Sementara itu, Chelsea pula menamatkan impian Nottingham Forest untuk kembali ke Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak bergelar juara Eropah pada tahun 1980.

Jaringan Levi Colwill yang menyudahkan hantaran Pedro Neto memastikan kemenangan 1-0 buat Chelsea di Stadium City Ground bagi mengesahkan kedudukan keempat.

Dalam pada itu, Forest kendalian Nuno Espírito Santo pula terpaksa berpuas hati di tangga ketujuh, sekali gus layak ke Liga Konferens.

Nasib pula menyebelahi Newcastle apabila kekalahan Aston Villa 0-2 kepada Manchester United membantu mereka mengekalkan kedudukan kelima untuk slot terakhir ke Liga Juara-Juara

Perlawanan di Old Trafford menyaksikan Villa terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas penjaga gol Emi Martinez dibuang padang kerana menjatuhkan Rasmus Hojlund di luar kotak penalti sebelum tamat separuh masa pertama.

Kekalahan Villa menyaksikan anak buah Unai Emery menamatkan kempen di tempat keenam sekali gus slot ke saingan Liga Europa musim depan.- AGENSI/UTUSAN

LIGA PERDANA INGGERIS 2024/25 

Juara: Liverpool

Piala FA: Crystal Palace

Piala Liga: Newcastle United

LIGA JUARA-JUARA 2025/26

Liverpool

Arsenal

Manchester City

Chelsea

Newcastle United

Tottenham Hotspur (juara Liga Europa)

 

LIGA EUROPA 2025/26

Aston Villa

 

LIGA KONFERENS 2025/26

Nottingham Forest

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN