Chelsea julang Piala Konferens UEFA

Chelsea julang Piala Konferens UEFA

Pemain Chelsea meraikan kejayaan menjuarai Piala Konferens UEFA selepas menewaskan Real Betis 4-1 dalam final di Wroclaw, Poland, pagi ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WROCLAW, Poland: Chelsea bangkit dengan bergaya untuk menewaskan Real Betis 4-1 dalam perlawanan akhir Liga Konferens  UEFA di Wroclaw pagi ini sekali gus menjadi kelab pertama yang melengkapkan kesemua kejuaraan utama Eropah.

Real Betis yang dibimbing oleh Manuel Pellegrini bermula dengan cemerlang apabila Abde Ezzalzouli menjaringkan gol awal ketika Chelsea kelihatan lesu dan tidak bermaya.

Namun, pertukaran pemain yang dilakukan oleh Enzo Maresca pada separuh masa kedua menyuntik tenaga baharu ke dalam pasukan, dan Cole Palmer mengubah corak permainan dalam tempoh lima minit, apabila beliau mencipta peluang untuk Enzo Fernandez dan Nicolas Jackson menjaringkan gol.

Pemain gantian Jadon Sancho memastikan kemenangan Chelsea pada minit ke-83 ketika pasukan dari Sepanyol itu mula kehilangan rentak dalam penampilan sulung mereka di pentas akhir Eropah.

Moises Caicedo kemudian menambah satu lagi gol untuk melengkapkan kemenangan bergaya.

Chelsea kini menjadi kelab pertama yang memenangi kesemua lima kejohanan kelab anjuran UEFA, Liga Juara-Juara, Liga Europa, Liga Konferens, Piala Super UEFA dan Piala Pemenang yang kini sudah tidak dianjurkan.

Ini juga merupakan trofi pertama mereka sejak konsortium Todd Boehly mengambil alih daripada bekas pemilik, Roman Abramovich pada 2022, selepas era kejayaan luar biasa untuk kelab tersebut.

Chelsea turut menamatkan musim ini dengan bergaya selepas mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara musim hadapan dengan kedudukan keempat dalam Liga Perdana Inggeris.

Maresca, yang baru melalui musim pertamanya di Stamford Bridge, berkata, beliau berharap kejayaan Liga Konferens ini boleh menjadi batu loncatan untuk kelab tersebut. – AFP/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×