SUBANG JAYA: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengakui mereka masih belum mempunyai sebarang perkembangan terkini mengenai masa depan pemain beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah.
Masa depan Pearly-Thinaah hangat diperkatakan apabila pasangan No. 4 dunia itu dikaitkan bakal memilih laluan untuk bergerak secara profesional selepas kontrak mereka bersama BAM tamat pada Disember lalu.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata badan induk itu akan mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pemain itu bagi menentukan hala tuju mereka.
“Tiada komen buat masa ini sebab saya tak dengar apa-apa kecuali melalui media.
“Kita akan lihat apa yang akan berlaku sebab Datuk V Subramaniam (Timbalan Presiden BAM) ada cakap sebelum ini, sebaik sahaja kami mempunyai kesempatan kami akan mengadakan perbincangan bersama mereka,” katanya selepas menghadiri majlis Anugerah Sukan Negara 2024 di sini semalam.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada berita positif bakal diperolehi daripada perbincangan tersebut, Kenny enggan mengulas lanjut.
Sementara itu, pemain badminton perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia yang sebelum ini meninggalkan BAM pada 11 Januari 2022 turut enggan mengulas lanjut mengenai keputusan yang bakal diambil oleh Pearly-Thinaah.
“Saya fikir semua orang ada impian dan pendapat masing-masing. Jadi, saya bukan mereka dan saya tidak tahu apa yang mereka sudah lalui sepanjang karier mereka. Saya bukan berada di posisi untuk bercakap mengenai ini,” katanya. – UTUSAN










