PETALING JAYA: Selepas 16 tahun mengerah keringat mempertahankan maruah negara di pentas bola keranjang antarabangsa, Kuek Tian Yuan akhirnya menamatkan kariernya sebagai pemain kebangsaan.
Bekas kapten skuad Harimau Malaysia itu menggantung jersi kebanggaan negara selepas beraksi bersama pasukan kebangsaan sejak tahun 2008.
Namun, perjalanan pemain berusia 34 tahun itu dalam arena bola keranjang tanah air tidak terhenti apabila beliau kini memulakan tugas baharu sebagai penolong jurulatih skuad lelaki kebangsaan dan pasukan remaja negara.
Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) berkata, pengalaman luas dan kepimpinan Tian Yuan amat diperlukan untuk mencorak pembangunan bakat baharu dan mengukuhkan skuad Harimau Malaysia.
“Sejak 2008 hingga 2024, Kuek telah memberikan segala-galanya untuk pasukan bola keranjang kebangsaan Malaysia.
“Beliau akan terus menyumbang bakti dan mewariskan legasi kepada generasi akan datang sebagai penolong jurulatih skuad lelaki kebangsaan dan juga skuad remaja negara,” kata kenyataan MABA.
Sementara itu, Tian Yuan turut mengakui beliau tidak pernah berputus asa meskipun berdepan pelbagai kecederaan dan cabaran sepanjang bergelar pemain kebangsaan.
“Dalam perjalanan ini, saya tidak pernah menyerah walau apa pun cabaran yang datang, termasuk kecederaan besar dan kecil.
“Saya bersyukur kerana mendapat sokongan penuh daripada isteri, anak-anak dan keluarga yang sentiasa membenarkan saya mengejar impian ini,” kata Kuek dalam kenyataan dalam Instagram miliknya. – UTUSAN









