PETALING JAYA: Jaguh lontar peluru Para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli mengakui dia sedang melakukan persiapan rapi bagi menghadapi tiga kejohanan besar pada tahun ini.
Ziyad yang memenangi pingat perak di Sukan Paralimpik Paris 2024 berkata, dia tidak mengambil masa yang lama untuk berehat selepas menyertai temasya terbesar di dunia itu.
“Selepas balik dari Paris, saya terus berlatih sampai hari ini kerana saya masih ada misi untuk mengekalkan pingat dengan terus berjuang,” katanya.
Ziyad dijadual menyertai Grand Prix Para di Marrakech, Maghribi dari 21 hingga 26 April ini sebelum beraksi dalam Kejohanan Dunia Olahraga Para 2025 di Stadium Jawaharlal Nehru, New Delhi, India pada 26 September hingga 5 Oktober serta Sukan Para ASEAN Thailand, Disember ini.
Atlet berusia 35 tahun itu berkata, dia akan melakukan persiapan di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil bagi menghadapi ketiga-tiga kejohanan besar tersebut.
“Persiapan untuk tahun ini jurulatih beritahu tidak akan ke luar negara kerana kami merancang untuk melakukannya di Malaysia.
“Ini kerana tahun lalu ada pelbagai kejohanan besar seperti kejohanan dunia, Paralimpik Paris jadi rentak itu berterusan dan kita boleh pergi ke luar negara untuk menjalani kem latihan.
“Lagi pun, kelengkapan di MSN bagus jadi kita cuba buat yang terbaik di dalam negara. Tak semestinya (berlatih) di luar negara kita bagus, dalam negara kita tetap cuba yang terbaik,” katanya.
Ziyad yang diberi pengecualian untuk beraksi di Sukan SEA walaupun berstatus atlet para berkata dia tidak akan mengambil bahagian di temasya itu yang disifatkannya sebagai tugas berat.
Sebagai rekod, Ziyad membawa pulang empat pingat ketika menyertai Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (gangsa), Filipina 2019 (perak), Vietnam 2021 (gangsa) dan Kemboja 2023 (gangsa). – UTUSAN










