Sri Pahang perlukan keajaiban jinakkan JDT   

Sri Pahang perlukan keajaiban jinakkan JDT   

HASSAN MISKAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pasukan Sri Pahang FC perlu mengharapkan keajaiban sekiranya mahu merampas Piala Malaysia daripada cengkaman Johor Darul Ta’zim (JDT), Sabtu ini.

Bekas pemain Johor FA, Hassan Miskam, 71,  berkata, agak mustahil bagi pasukan kendalian Fandi Ahmad itu untuk mencipta kejutan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) ketika berdepan Harimau Selatan yang berada pada prestasi terbaik mereka.

Katanya, atas kertas sahaja sudah nampak jurang kekuatan antara kedua-dua pasukan dan anak buah Hector Bidoglio tampak cemerlang di setiap sudut.

“Inikan pula apabila skuad Tok Gajah itu akan turun tanpa kelibat Kpah Sherman dan Manuel Hidalgo. Ini akan memberi impak terhadap persiapan pasukan.

“Namun, jika dua import ini beraksi sekali pun, mereka masih tidak mampu menyaingi kekuatan sebenar Harimau Selatan. Jadi, adalah mustahil untuk membayangkan JDT tersungkur dalam final nanti,” katanya.

Hassan yang membantu pasukan Johor menjulang Piala Malaysia pada 1991 menjangkakan JDT akan menang mudah dengan jaringan sekurang-kurangnya 3-0.

Beliau menjangkakan, dua ayam tambatan Harimau Selatan, Bergson Da Silva dan Arif Aiman Hanapi akan menjadi pemusnah bagi pasukan Tok Gajah dengan memahat nama sebagai penjaring.

“Dalam saingan Liga Malaysia musim ini, JDT belum pernah tewas dan ini tidak akan terkecuali pada Sabtu ini. Bagi saya, JDT terlalu kuat, bukan lagi ‘level’ liga domestik,” katanya.

“Jika dahulu, setiap kali JDT ke pentas final, ramai yang teruja dan tiket perlawanan juga laku macam pisang goreng panas. Perlawanan juga dapat tentangan hebat dan sukar nak jangka.

“Namun kini, semuanya tampak mudah. Bukan sekali dua pergi ke final, malah rekod demi rekod dicipta oleh JDT termasuk melengkapkan kejuaraan quadruple (empat piala) semusim,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN