Perak FC harap pihak taja pasukan remaja  

Perak FC harap pihak taja pasukan remaja  

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak FC berharap ada pihak sanggup membiayai pasukan remaja susulan pihak pengurusan sedang menimbang untuk beraksi dalam Liga Super sahaja musim depan.

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi  berkata, pihaknya tidak mahu hanya mempunyai wakil dalam Liga Super sahaja tetapi tiada wakili daripada pasukan pembangunan. 

“Jika ada pihak seperti PAFA (Persatuan Bola Sepak Perak) boleh melaksanakan pembangunan, kami boleh tumpu perhatian sepenuhnya terhadap pasukan utama,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengenai kemungkinan Perak FC hanya beraksi dalam Liga Super sahaja, Abdul Azim berkata, perkara itu belum muktamad.

“Belum pasti lagi. Kami masih bermesyuarat sebelum mencapai keputusan muktamad,” katanya.

Beliau mengakui Perak FC mengalami masalah kewangan yang menghimpit kelab itu yang menyaksikan pemain dan jurulatih tidak menerima lima bulan gaji.

Katanya, ini  menyebabkan timbul pelbagai spekulasi mengenai kedudukan Perak.

“Ada ura-ura Perak hanya akan menyertai Liga Super dan ada juga mengatakan Perak menarik diri terus dari Liga-M. Kami akan mengadakan mesyuarat mengenai perkara ini,” katanya.

Abdul Azim berkata, syarikat yang memegang saham majoriti kelab, XOX Pro Sport Sdn. Bhd. sudah melakukan segala usaha untuk membantu pasukan berkenaan.

“Dari segi XOX Pro Sport sendiri, kita pun sudah membelanjakan wang begitu besar. Dalam tiga tahun ini, kami sudah belanja kira-kira RM30 juta 

“Kita sudah tiba pada tahap maksimum dan mengharapkan mereka yang sudah memberi komitmen untuk bantu.

“XOX juga sedang mencari jalan bagi menyelesaikan tunggakan gaji itu agar beban kewangan mereka yang terbabit berakhir,” katanya.

Ini bukan kali pertama, Perak dilanda masalah kewangan kerana sebelum ini  pernah mengalami masalah tunggakan gaji pemain hingga menyaksikan perpindahan ramai pemain pada tahun 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN