MCW, JIM komited banteras rasuah di pintu masuk negara

MCW, JIM komited banteras rasuah di pintu masuk negara

KAKITANGAN Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ‘sedar’ mereka sedang diawasi dan kewujudan pegawai integriti semakin dirasai dan memberi impak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, saya dikejutkan dengan impak hebat dari medium paling popular yang dikenal ramai sebagai podcast (audio siar).

Trend berkongsi pandangan dalam dunia sebaran maklumat media digital ini, semakin berkesan menerusi platform media sosial yang membolehkan kebebasan bersuara rakyat menjadi pencetus kepada perubahan besar secara positif.

Hal ini menjadi realiti setelah saya dijemput ke konti sebuah platform media sosial atas kapasiti presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antirasuah, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) bagi membicarakan mengenai situasi rasuah terkini di Malaysia.

Tanpa disangka dan diduga potongan klip video pendek dari episod temu bual itu berjaya menarik perhatian audien secara global.

Dalam temu bual tersebut, saya menyatakan 90 peratus pegawai Imigresen di kaunter lapangan terbang terlibat dalam gejala rasuah secara sistemik. Dakwaan ini bukan dibuat secara melulu, tetapi berdasarkan maklumat dan aduan yang diterima sejak sekian lama, termasuk dari dalam kalangan penguatkuasa sendiri.

Reaksi audien bercampur baur bila mendengar kenyataan yang saya bualkan dalam podcast tersebut. Ada yang menyokong, ada yang menentang dan ada yang menuntut bukti.

Kesan tular klip video yang diulang tayang berkali-kali ini sampai kepada pengetahuan pihak-pihak berwajib berkenaan. Dua minggu selepas kenyataan itu tular, saya dijemput secara rasmi bertemu dengan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban, bersama pegawai-pegawai kanan termasuk pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengetuai Unit Integriti JIM.

Pertemuan ini bukanlah bertujuan mempertikaikan kenyataan saya, sebaliknya menjadi platform perbincangan konstruktif.

Dalam sesi itu, pihak JIM meminta agar MCW menyalurkan sebarang maklumat berkenaan isu pelanggaran integriti atau rasuah agar tindakan segera boleh dilakukan. Secara telus, pihak JIM juga turut membentangkan pelbagai inisiatif dalaman yang sedang dijalankan untuk memperkukuh budaya integriti.

Fakta dan statistik didedahkan oleh JIM seperti:
1. Program pengukuhan integriti:
• 77 program melibatkan 4,280 peserta (2022).
• 99 program melibatkan 11,918 peserta (2023).
• 209 program melibatkan 12,586 peserta (2024).

2. Aktiviti pematuhan dan pemeriksaan mengejut:
• 386 pemeriksaan (2023).
• 496 pemeriksaan (2024).
• Pemeriksaan di pintu masuk meningkat dari 143 (2023) ke 231 (2024).

3. Tindakan tatatertib dan pemecatan:
• 268 anggota dibuang kerja (2018–kini).
• 174 anggota dikenakan hukuman lain seperti diturunkan pangkat.

4. Pusingan kerja:
• 90.91 peratus (2023).
• 97.94 peratus (2024).

5. Kerjasama dengan SPRM, termasuk penempatan pegawai SPRM secara kader dalam struktur JIM.

6. Latihan berkala dan pemantauan berterusan, termasuk pemantauan sebelum dan selepas tindakan pematuhan.

PENDEKATAN MELIBATKAN KELUARGA PEGAWAI
Inisiatif paling menarik perhatian ialah penglibatan keluarga pegawai JIM dalam pembudayaan integriti. Pendekatan ini akan dimulakan pada Julai 2025, melibatkan ahli keluarga pegawai kadet. Dalam taklimat khas kepada keluarga, enam perkara utama akan dijelaskan:
1. Ekspektasi ibu bapa/isteri terhadap pegawai
2. Tanggungjawab dan kuasa besar pegawai
3. Realiti kerja: gaji, elaun, kos sara hidup
4. Pemantauan gaya hidup (kereta, rumah, hiburan)
5. Nasihat untuk keluarga – elak beri tekanan kewangan berlebihan
6. Risiko rasuah – hilang kerja, maruah, pencen jika disabitkan kesalahan

Pendekatan ini sejajar dengan prinsip MCW bahawa integriti adalah tanggungjawab komuniti terdekat, bukan individu semata-mata.

PENCERAHAN MAKLUMAT TERKINI
Selepas pertemuan dan talimat bersama Ketua Pengarah JIM, saya ingin menjelaskan semula bahawa kenyataan 90 peratus pegawai terlibat rasuah itu berdasarkan maklumat dua tahun lalu. Selepas mendengar penerangan JIM, saya percaya perubahan positif sedang berlaku.
Mereka tidak menafikan masih berlaku pelanggaran integriti, tetapi ia tidak lagi berleluasa. Kakitangan kini ‘sedar’ mereka sedang diawasi. Kewujudan pegawai integriti semakin dirasai dan memberi impak.

MCW RAKAN STRATEGIK JIM
MCW mempunyai strategi tersurat dan tersirat sentiasa konsisten dalam perjuangan menentang rasuah. MCW mahu bekerjasama sebagai rakan strategik, bukan hanya pengkritik atau pendesak. Dalam pertemuan tersebut, Ketua Pengarah JIM mengarahkan satu sesi townhall khas dilaksanakan bersama:
• Pegawai dan kakitangan JIM pelbagai peringkat
• Pegawai SPRM dan tokoh integriti negara
• Panel fasilitator MCW yang terlatih dalam pembinaan karakter dan nilai antirasuah

Townhall ini bertujuan membina kejujuran kolektif, mendidik dari hati ke hati dan mendengar suara barisan hadapan pihak Imigresen.

Antara inisiatif jangka panjang yang dicadangkan oleh MCW ialah:
1. Program Mentor Integriti:
• Setiap pegawai baharu dipadankan dengan mentor berintegriti selama 12 bulan pertama.
• Sebelum ini pernah dilaksanakan (2003), tetapi MCW mahu ia diperluas kepada semua pegawai baharu.

2. Sesi Latihan dalam kumpulan (LDK) Keluarga Berintegriti sebagai sistem sokongan emosi dan moral.

3. Sistem Penilaian Berkala Integriti (SPI) yang merangkumi penilaian diri, rakan sekerja dan maklum balas awam.

4. Latihan e-Kesedaran melalui platform digital untuk akses mudah dan menyeluruh.

5. Inisiatif Pegawai Pilihan Rakyat, di mana rakyat boleh menamakan dan menghargai pegawai JIM yang berintegriti.

INTEGRITI: AMANAH SEMUA PIHAK
Isu integriti dalam penguatkuasaan bukanlah perkara baharu. Namun, ia tidak boleh dianggap normal. Setiap agensi, NGO, rakyat dan institusi wajib memikul tanggungjawab membanteras rasuah dan mengangkat integriti.

Saya yakin dan percaya pendedahan maklumat tersebut adalah satu peluang terbaik bagi seluruh rakyat memberi sokongan serta kerjasama dalam isu ini demi memperbaiki imej negara tercinta.

Adakah kita sanggup terus membiarkan gejala ini merosakkan diri selama-lamanya? Sudah tiba masanya untuk kita bersatu dan menghentikannya!

JIM telah menunjukkan keterbukaan dan kesungguhan. Kini, tanggungjawab kita pula untuk menyokong usaha yang benar-benar telus dan jujur.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya