Mampukah Malaysia ke pentas akhir Piala Sudirman? 

Mampukah Malaysia ke pentas akhir Piala Sudirman? 

Kenneth Jonassen
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mara ke pentas akhir pada Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China pada 27 April-5 Mei ini bukanlah satu misi mudah lebih-lebih lagi skuad badminton kebangsaan tidak hadir sebagai pasukan yang memiliki pakej lengkap.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kepincangan perlu diakui wujud di sektor perseorangan lelaki dan wanita, menyaksikan Malaysia bergantung kepada saingan beregu bagi mengutip mata penting terutamanya sewaktu menghitung pertemuan dengan pasukan pilihan.

Skuad negara yang mara sehingga ke separuh akhir pada edisi lalu tewas di tangan Korea Selatan 1-3, malah kehilangan perseorangan lelaki No. 1 Malaysia, Lee Zii Jia yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan.

Tanpa anak jati Kedah itu, Leong Jun Hao dan pemain muda, Justin Hoh disenaraikan ke dalam pasukan, sementara Ng Tze Yong yang masih belum mendapatkan kembali prestasi sebenarnya turut dipinggirkan.

Dalam perseorangan wanita, Malaysia sudah lama tidak memiliki kekuatan di sektor itu dengan Goh Jin Wei dan K. Letshanaa menjadi pertaruhan negara.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen ketika diajukan persoalan mengenai kepincangan itu mengakui tanpa kelibat pemain yang berada di ranking utama dunia merupakan satu cabaran besar.

“Sudah tentu, apabila anda tidak memiliki pemain yang menghuni kelompok 10 terbaik dunia, ia satu cabaran kerana memiliki pemain handalan mampu menghadirkan perbezaan.

“Itulah hakikat yang terpaksa kita terima dan kami akan melakukan yang terbaik dan bekerja keras bagi menyokong pasukan,” katanya ketika ditemui, Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, pengendali dari Denmark itu berkata, memandangkan Piala Sudirman merupakan kejohanan berpasukan, maka, pendekatannya berbeza bagi menyesuaikan cabaran yang bakal diharungi skuad kebangsaan.

“Saya rasa amat penting untuk mengadaptasi mentaliti pasukan, ini bermakna tidak kira apa juga isu yang terpaksa dihadapi, sebagai pemain mereka perlu mencari jalan untuk menyumbang bagi membantu pasukan.

“Mungkin tidak boleh bagi mata, tetapi, rakan sepasukan dapat menyaksikan mereka sanggup berkorban ketika beraksi di dalam gelanggang ataupun memainkan peranan sebagai underdog,” katanya.

Jonassen berkata, baik Jun Hao mahupun Justin, kedua-dua pemain itu perlu bijak memanfaatkan kepercayaan diberi kepada mereka kerana peluang tersebut tidak datang selalu.

Beliau turut mengakui selaku jurulatih dan bekas pemain, membantu anak-anak buahnya sedaya upaya melalui pengalaman yang pernah diharunginya diharap dapat membantu mereka terutama ketika berdepan lawan yang lebih handal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN