Jun Hao, Justin perlu buktikan di Piala Sudirman  

Jun Hao, Justin perlu buktikan di Piala Sudirman  

ROSLIN HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain muda perseorangan negara, Leong Jun Hao dan Justin Hoh perlu membuktikan kemampuan mereka di Piala Sudirman 2025 yang bakal membuka tirainya pada 27 April hingga 4 Mei 2025 di Xiamen, China.

Bekas pemain perseorangan negara, Roslin Hashim menggesa barisan pemain muda perseorangan lelaki negara untuk tampil dengan semangat juang tinggi dan membuktikan kemampuan sebenar mereka dalam saingan Piala Sudirman 2025 yang bakal membuka tirai pada  27 April hingga 4 Mei 2025 di Xiamen, China.

Kata Roslin, ketiadaan perseorangan utama, Lee Zii Jia yang menarik diri atas faktor kecergasan dan kecederaan, tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melemahkan semangat skuad negara.

Sebaliknya, beliau menaruh kepercayaan terhadap Jun Hao dan Justin untuk bangkit dan memberikan persembahan terbaik demi memastikan Malaysia mampu mara sejauh mungkin dalam kejohanan berprestij berpasukan campuran itu.

“Saya tidak mahu kita terlalu bergantung kepada andaian bahawa kalau Zii Jia ada, barulah kita kuat. Tidak, kita kena percaya pada pemain yang ada sekarang. 

“Jun Hao dan Justin kena ambil tanggungjawab ini sebagai satu peluang besar untuk buktikan mereka layak sandang tempat itu,” kata Roslin ketika dihubungi  Utusan Malaysia 

Bekas Pemain No.1 dunia itu juga berkata, Jun Hao yang kini bebas kecederaan serta memiliki pengalaman beraksi dalam kejohanan besar, perlu mempamerkan permainan konsisten, manakala Justin, walaupun baharu dalam kancah antarabangsa, harus tampil berani dan bersedia menyahut cabaran.

“Main untuk negara ini bukan benda kecil. Pemain muda kena buktikan mereka boleh ganti tempat senior satu hari nanti. Ini pentasnya, Piala Sudirman. Saya percaya mereka mampu, tapi mereka kena tunjuk di gelanggang,” tegasnya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama Jepun, Perancis dan Australia, dengan misi untuk memperbaiki pencapaian edisi 2023 di Suzhou, China, yang menyaksikan skuad negara mara ke separuh akhir sebelum tewas kepada Korea Selatan.

Roslin turut menyatakan keyakinannya bahawa skuad kali ini mampu mencipta kejutan dan tidak wajar dipandang rendah oleh pasukan-pasukan gergasi lain.

“Kita bukan pasukan lemah. Negara-negara lain pun sedar Malaysia bukan calang-calang. Kita pernah dua kali ke separuh akhir. Kali ini, saya harap mereka boleh pergi lebih jauh, kalau boleh masuk final. Kalau dapat menang, itu bonus, tapi yang penting, tunjukkan semangat juang,” katanya.

Malaysia dijangka memulakan aksi sulung menentang Perancis pada 28 Mei sebelum berdepan Australia dan Jepun dalam perlawanan peringkat kumpulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN