PETALING JAYA: Final Piala Malaysia 2024/2025 dijangka menyajikan aksi penuh emosi apabila dua pasukan gergasi, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang bakal membuat perhitungan di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.
Jurulatih berpengalaman tanah air, Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan pertembungan dua pasukan itu akan menjadi medan ujian sebenar keupayaan, semangat dan taktikal dalam mengejar kejuaraan paling berprestij di tanah air.
“Sebagai penonton, kita kena tengok dari sudut kemampuan. JDT menang 10 kali, Pahang mungkin satu. Tapi yang penting ialah semangat dan keupayaan sebenar pasukan di atas padang,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Mengulas kekuatan JDT, beliau mengakui kelebihan memihak kepada skuad Harimau Selatan, bukan sahaja dari segi barisan pemain tetapi juga sokongan padu penyokong setia mereka.
“Kita tengok penyokong JDT lebih ramai, lebih bersatu. Itu beri mereka kelebihan besar,” kata Irfan.
Ketika ditanya mengenai kekuatan utama Sri Pahang, Irfan menyatakan bahawa ‘semangat juang’ merupakan senjata utama pasukan kendalian Fandi Ahmad itu untuk mencipta kejutan.
“Kekuatan Pahang ialah semangat mereka. Mereka perlu buktikan pada seluruh negara bahawa mereka ada kualiti. Kalau JDT lebih kuat pun, dengan semangat yang tinggi, Pahang masih ada peluang,” katanya.
Senada dengannya, bekas ketua jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, walaupun Sri Pahang menunjukkan prestasi yang baik dengan momentum positif sejak 3 perlawanan terakhir dalam liga, namun dari segi perbandingan pemain ke pemain, kelebihan nyata memihak kepada JDT.

“Kita kena realistik. Kalau tengok secara statistik, kita boleh nampak JDT lima langkah ke hadapan daripada Sri Pahang,” katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa Sri Pahang akan melakukan kejutan walaupun di atas kertas pasukan Harimau Selatan itu dijangka mendominasi perlawanan.
“Kejutan akan berlaku bila-bila masa, Kita harap esok satu perlawanan yang baik. Kita tak nak tengok banyak mistake dan hanya satu pasukan sahaja yang mendominasi 90 minit perlawanan,” katanya. – UTUSAN










