Jangan lagi terlalu bergantung kepada Amerika Syarikat

Jangan lagi terlalu bergantung kepada Amerika Syarikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAMA lebih tujuh dekad, Amerika Syarikat (AS) menikmati kedudukan istimewa dalam sistem kewangan global. Dominasi negara itu dalam teknologi, kekuatan ketenteraan serta peranannya sebagai pusat perdagangan dan pelaburan antarabangsa menjadikannya pusat graviti dalam ekonomi dunia.

Dolar AS dijadikan mata wang rizab utama dunia, manakala pasaran saham dan bon negara itu menjadi destinasi utama pelaburan antarabangsa.

Namun, landskap ini mula berubah. Dasar perlindungan ekonomi, ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan institusi AS mula menghakis keyakinan global terhadap ekonomi negara itu. Keadaan ini bukan sahaja memberi impak kepada pasaran kewangan global, malah turut dirasai negara-negara membangun seperti Malaysia.

Pelabur global secara tradisinya melihat AS sebagai tempat yang selamat untuk melabur, terutamanya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. Saham syarikat teknologi gergasi seperti Apple, Microsoft dan Google menjadi pilihan utama, manakala bon perbendaharaan AS dianggap aset selamat ketika krisis. Dolar pula menjadi mata wang rujukan bagi perdagangan antarabangsa, memandangkan kestabilan ekonomi dan pengaruh politik AS.

Namun, kini suasana berubah. Dengan pengenalan tarif perdagangan yang agresif di bawah pentadbiran Donald Trump, AS dilihat semakin mengamalkan dasar ekonomi tertutup. Langkah mengenakan tarif ke atas barangan import, terutamanya dari China, mencetuskan perang perdagangan yang berpanjangan. Ini bukan sahaja menjejaskan rantaian bekalan global, malah menimbulkan kebimbangan terhadap prestasi syarikat-syarikat AS yang bergantung kepada bahan mentah dan pasaran antarabangsa.

Kebiasaannya, apabila berlaku ketidaktentuan dalam ekonomi atau politik seperti krisis kewangan, peperangan atau konflik perdagangan, pelabur akan mencari aset yang lebih selamat untuk melindungi nilai pelaburan mereka.

Salah satu aset yang paling dipercayai dalam situasi seperti ini ialah Bon Perbendaharaan Amerika Syarikat kerana dijamin oleh kerajaan AS dan dianggap sangat stabil serta mempunyai risiko kegagalan yang sangat rendah.

Negara-negara seperti China dan Jepun, yang merupakan pemegang bon AS terbesar, mula mengurangkan pegangan mereka. Ini menyebabkan harga bon AS jatuh dan hasil (yield) meningkat. Ia satu petanda penurunan keyakinan pasaran.

NILAI DOLAR AS MEROSOT
Apabila permintaan terhadap dolar AS menurun, nilai mata wang tersebut juga akan merosot. Ini berlaku kerana seperti mana-mana barangan, apabila permintaan berkurang, nilainya turut jatuh. Dolar AS memainkan peranan penting dalam sistem kewangan global kerana sebahagian besar perdagangan dan pinjaman antarabangsa menggunakan mata wang ini. Oleh itu, kejatuhan nilainya boleh menyebabkan ketidaktentuan kadar pertukaran di seluruh dunia kerana banyak negara bergantung kepada dolar untuk urusan import, pelaburan dan pembayaran hutang luar negara.

Ketidaktentuan ini memberi kesan besar kepada pasaran tukaran asing dan perdagangan antarabangsa.

Harga komoditi seperti minyak dan makanan yang didagangkan dalam dolar turut menjadi tidak stabil. Negara-negara yang menyimpan rizab asing dalam bentuk dolar juga terpaksa menyesuaikan strategi mereka dan ini boleh memberi tekanan kepada sistem kewangan global.

Nilai dolar yang turun naik dengan mendadak boleh menjejaskan keputusan pelaburan dan perdagangan kerana risiko pertukaran mata wang menjadi lebih sukar untuk dikawal.

KETIDAKTENTUAN PASARAN SAHAM GLOBAL
Apabila pelabur antarabangsa mula menarik keluar pelaburan mereka dari pasaran saham AS, ia bukan sahaja memberi kesan kepada ekonomi negara itu tetapi juga mencetuskan gelombang ketidaktentuan ke seluruh dunia. Ini kerana pasaran saham AS, terutamanya seperti New York Stock Exchange (NYSE) dan Nasdaq, adalah pusat kewangan global yang sangat besar dan berpengaruh.

Banyak pelabur, termasuk dana pelaburan antarabangsa, dana pencen dan institusi kewangan besar mempunyai pegangan besar dalam saham AS.

Apabila keyakinan pelabur terhadap ekonomi AS mula goyah disebabkan faktor seperti dasar perlindungan, perang perdagangan atau ketidaktentuan politik, maka pelabur akan menjual saham-saham mereka dan mengalihkan modal ke tempat lain. Ini dikenali sebagai aliran keluar modal. Apabila berlaku jualan besar-besaran, harga saham jatuh dengan cepat.

KESAN KEPADA MALAYSIA
Malaysia sebagai sebuah negara yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa dan pelaburan asing turut terkesan apabila berlaku ketidaktentuan dalam pasaran kewangan global, terutamanya apabila ekonomi AS tidak stabil.

Salah satu kesan utama ialah tekanan terhadap nilai ringgit. Walaupun kejatuhan nilai dolar AS mungkin memberikan sedikit kelegaan kepada ringgit dalam jangka pendek, namun dalam jangka panjang, ketidaktentuan pasaran boleh menyebabkan pelabur asing menarik keluar dana mereka dari Malaysia. Ini boleh melemahkan nilai ringgit dan menyebabkan pasaran tukaran mata wang menjadi tidak stabil.

Walaupun ketidaktentuan di AS boleh menyebabkan pelabur asing menarik diri dari pasaran negara itu, ia juga membuka peluang kepada negara seperti Malaysia untuk menarik pelaburan baharu. Namun begitu, untuk merebut peluang ini, Malaysia perlu memastikan suasana politik dalam negara stabil, dasar kerajaan konsisten dan sistem kewangan kukuh agar pelabur yakin untuk melabur di sini.

Untuk menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, Malaysia perlu mengambil beberapa langkah penting. Pertama, kerajaan perlu memperkukuh kedudukan fiskal dan monetari negara. Ini bermakna, perbelanjaan kerajaan mesti dikawal agar defisit fiskal tidak terlalu tinggi, manakala kadar faedah perlu ditetapkan pada tahap yang boleh menggalakkan pertumbuhan ekonomi tanpa menyebabkan inflasi secara melampau.

Selain itu, Malaysia perlu memperluaskan pasaran perdagangan antarabangsa dan tidak terlalu bergantung kepada AS sahaja. Hubungan perdagangan dengan negara jiran seperti ASEAN, China dan negara-negara di Asia Barat perlu diperkukuh supaya pasaran eksport lebih pelbagai dan tidak terjejas jika satu pasaran utama mengalami masalah.

Malaysia juga perlu memberi tumpuan kepada menarik pelaburan berkualiti tinggi. Pelaburan ini sepatutnya tertumpu kepada sektor yang mempunyai nilai tambah tinggi seperti teknologi, ekonomi digital dan tenaga boleh diperbaharui. Sektor-sektor ini bukan sahaja menjanjikan pulangan jangka panjang, malah boleh meningkatkan daya saing ekonomi negara.-UTUSAN

DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Wang dan Bank Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Forum Ekonomi Manusiawi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×