PETALING JAYA: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli mengotakan janji selepas mengungguli kedudukan keseluruhan Piala RedBull MotoGP Rookies dengan kutipan 40 mata sebaik berakhir dua perlumbaan di Jerez, semalam.
Anak jati Kuala Terengganu itu melengkapkan perlumbaan 2 sekali lagi sebagai naib juara menerusi catatan masa 25 minit 46.074 saat (s).
Pelumba berusia 17 tahun itu hanya dipisahkan +0.031s di belakang pemenang perlumbaan, Carter Thompson dari Australia menerusi catatan masa terpantas 25: 46.043s.
Tempat ketiga milik pelumba Amerika Syarikat, Kristian Daniel selepas dia melakar masa 25: 46.337s dalam perlumbaan 14 pusingan itu.
Muncul sebagai naib juara dalam perlumbaan 1 dan 2, meletakkan Hakim Danish menguasai kedudukan pendahulu dalam senarai pelumba Piala RedBull MotoGP Rookies manakala Thompson mengutip 38 mata dan Brian Uriarte dari Sepanyol di tempat ketiga selepas mengumpul 25 mata.
Hakim Danish berkata, dia gembira dapat kembali ke podium dan masih belum menjadi rezekinya untuk menjuarai perlumbaan.
“Saya akan terus berjuang sehinggalah saya mampu memenangi perlumbaan, saya sedar persaingan sengit, tetapi, bagus dapat kembali ke podium, saya beraksi dengan selesa,” katanya.
Mengulas saingan sengit dalam perlumbaan 2, kata Hakim Danish, dia berjaya mengendalikan perlumbaan dengan baik dan kekal konsisten dalam kelompok hadapan.
“Semasa berada dalam pusingan terakhir, saya berjaya berada di kedudukan pendahulu, tetapi, persaingan memang sengit, saya akan terus berlumba seperti ini,” katanya.
Hakim Danish akan meneruskan perjuangannya di Litar Le Mans, Perancis untuk saingan pusingan kedua pada 10-11 Mei ini. – UTUSAN











