BAM beri ruang Pearly-Thinaah fikir masa depan

BAM beri ruang Pearly-Thinaah fikir masa depan

Pearly Tan-M.Thinaah muncul juara Kejohanan Badminton Jepun Masters 2025 di Kumamoto, Jepun, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi ruang kepada beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah untuk berfikir dan mempertimbangkan masa depan mereka sebelum memuktamadkan kontrak baharu bersama badan induk tersebut.

Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam mengesahkan bahawa perbincangan masih berjalan dan menegaskan bahawa pihaknya tidak menetapkan sebarang tempoh masa kerana menghormati proses membuat keputusan oleh pemain.

Beliau berkata, BAM memilih untuk bersikap terbuka dan memberi kelonggaran agar Pearly-Thinaah dapat membuat keputusan secara matang dengan mengambil kira sebarang nasihat yang mereka terima.

“Memang benar, mereka belum menandatangani kontrak lagi tetapi kami sedang berbincang dan saya percaya ianya akan diselesaikan dalam masa terdekat.

“Kami tiada isu dengan mereka, mereka masih bersama kami dan kekal komited di bawah naungan BAM setakat ini,” kata Subramaniam selepas sidang akhbar menjelang Kejohanan Badminton Malaysia Masters di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.

Terdahulu, BAM menawarkan kontrak kepada beregu No. 5 dunia itu pada Januari dan perbincangan masih berjalan apabila kedua-duanya difahamkan menuntut kenaikan gaji daripada badan induk tersebut.

Sementara itu, Datuk V. Subramaniam menegaskan pelaburan besar telah dilakukan oleh BAM terhadap pemain seperti Pearly-Thinaah sejak dari peringkat awal kerjaya mereka dalam usaha membentuk atlet bertaraf dunia.

Menurutnya, BAM sentiasa menjaga kebajikan pemain dan berharap agar mereka terus memberi sumbangan kepada negara menerusi prestasi cemerlang dalam kejohanan akan datang.

“Tujuan kami melabur dalam pemain sejak mereka muda adalah agar mereka terus kekal bersama BAM, berlatih bersungguh-sungguh dan membawa pulang pingat untuk negara.

“Kami bukan melabur sedikit, jumlah yang dilaburkan sangat besar dan harapan kami adalah agar mereka membalas pelaburan ini dengan kejayaan dan pencapaian di pentas antarabangsa,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×