MADRID: Arsenal mara ke saingan separuh akhir Liga Juara-Juara selepas menyingkirkan pasukan dipenuhi bintang dan juga penyandang juara Real Madrid menerusi kemenangan 2-1 pada aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara (UCL) sekali gus mara dengan agregat 5-1, awal pagi tadi.
The Gunners yang bertandang ke Santiago Bernabeu berbekalkan kelebihan tiga jaringan gol tanpa balas minggu lalu memberi kelebihan kepada kelab Inggeris itu mara ke kelompok empat pasukan terbaik sejak kali terakhir pada tahun 2009.
Skuad kendalian Mikel Arteta akan berentap dengan Paris Saint-Germain (PSG) bagi memburu slot ke final dan mencipta sejarah baharu untuk Gunners menjulang kejuaraan Eropah buat kali pertama.
Bukayo Saka terlepas peluang untuk membuka tirai jaringan apabila sepakan penaltinya pada minit ke-13berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Real, Thibaut Courtois namun pemain England itu berjaya menebus kegagalan itu menerusi gol pada minit ke-65.
Dua minit kemudian, Vinicius Junior menyamakan kedudukan namun Arsenal sekali lagi merobek gawang tuan rumah hasil ledakan Gabriel Martinelli pada penghujung perlawanan sekali gus menunjukkan juara 15 kali Eropah itu jalan keluar.
Sementara itu di Milan, Inter Milan turut mara ke separuh akhir selepas terikat 2-2 menentang Bayern Munich pada aksi suku akhir kedua sekali gus mara dengan keputusan agregat 4-3.
Juara Itali itu akan menentang Barcelona selepas jaringan gol selang tiga minit kapten pasukan Lautaro Martinez dan Benjamin Pavard berjaya memadam kelebihan jaringan Harry Kane pada minit ke-52 dan Eric Dier minit ke-75.-AFP










