PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski memiliki ramuan tersendiri meskipun hanya diberikan tempoh singkat untuk mempersiapkan pasukan bagi mengharungi aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada 25 Mac ini.
Katanya, beliau enggan tekan butang panik kerana telah merangka strategi terbaik selain akan manfaat sebaik mungkin tempoh masa dimiliki sepanjang kem latihan berlangsung, yang akan bermula hari ini.
Cklamovski percaya barisan pemain yang dipilih kali ini, rata-rata pernah beraksi bersama dan tentu sekali isu keserasian antara satu sama lain tidak akan timbul sekali gus mudah untuk beliau menerapkan taktikal berkesan ketika menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim nanti.
“Ia sememangnya bukan kem latihan yang panjang, tetapi kami akan menggunakan masa yang ada sebaik mungkin untuk membentuk mentaliti dan memastikan pasukan dapat mempamerkan aksi terbaik.
“Kami mahu menunjukkan komitmen, intensiti serta kesungguhan bagi memastikan penyokong bangga dengan persembahan pasukan. Tidak kira sama ada kem latihan ini panjang atau pendek, kami akan memaksimumkan penggunaannya,” katanya.
Skuad negara akan memulakan kem latihan pertama hari ini dan hanya mempunyai lapan hari untuk melakukan persiapan sebelum perlawanan menentang Nepal.
Perlawanan ini menjadi tugasan pertama buat Cklamovski yang dilantik pada Disember lalu serta merupakan tugas berat untuknya dalam membentuk pasukan mengikut acuan dimahukannya dalam tempoh singkat.
Cklamovski menjelaskan Harimau Malaya tidak akan mengadakan sebarang aksi perlawanan persahabatan, sebaliknya hanya menjalani perlawanan dalaman tertutup sebagai persediaan terakhir sebelum berdepan lawan itu.
“Kami tidak ada perlawanan persahabatan kali ini. Sebaliknya, kami akan menggunakan tempoh latihan ini untuk membentuk pasukan dan memastikan pemain memahami konsep permainan yang diterapkan,” katanya.
Malaysia diundi dalam Kumpulan F bersama Nepal, Vietnam dan Laos dengan hanya juara kumpulan akan mendapat slot ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi bagi menyertai 18 pasukan yang sudah layak daripada pusingan kedua sebelum ini. – UTUSAN











