KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran negara, Chen Tang Jie masih mahu terus bergandingan dengan Toh Ee Wei dan tidak rela kehilangannya, kerana percaya mereka masih mampu mencipta kejayaan bersama.
Beliau mengakui, meskipun memahami keputusan untuk direhatkan daripada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025, perasaan menghargai peluang beraksi di samping Ee Wei tetap menebal dalam dirinya.
“Tidak bermain (BAC) memang ada sedikit rasa sayang (rugi) kerana ini kejohanan penting dan kita boleh mewakili negara. Mungkin kalau bermain, kami berpeluang membawa pulang pingat untuk Malaysia.
“Bagaimanapun, persembahan kami di All England serta Orleans Masters tidak begitu baik. Jadi, saya terima keputusan untuk direhatkan,” kata Tang Jie ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, semalam.
Terdahulu, ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto, mendedahkan bahawa hubungan dingin antara Tang Jie-Ee Wei menjadi faktor mereka digugurkan daripada BAC yang bakal berlangsung pada 8 April ini di Ningbo, China.
Bagaimanapun, bagi Tang Jie, Ee Wei bukan sekadar rakan sepasukan tetapi juga seorang gandingan yang amat dihargainya, setelah banyak melalui suka dan duka bersama di pentas antarabangsa.
“Saya menghargai dia dan apa yang telah kami capai bersama. Saya amat berterima kasih dan bersyukur kerana setiap pasangan mempunyai karakter dan sikap yang baik,” ujarnya.
Ditanya mengenai hubungan mereka kini, Tang Jie mengakui bahawa mereka masih berbincang dan mencari titik penyelesaian agar dapat kembali beraksi dengan lebih mantap.
“Masih dalam perbincangan kerana dia (Ee Wei) baru memulakan latihan selepas All England. Kita lihat bagaimana nanti,” katanya.
Buat masa ini, Tang Jie-Ee Wei masih menantikan keputusan mengenai kejohanan yang akan mereka sertai, termasuk kemungkinan untuk kembali berganding dalam Piala Sudirman pada 27 April ini. – UTUSAN










