‘Ikan bilis’ ditangkap tetapi ‘jerung besar’ masih terlepas bebas. Kenyataan sebeginilah yang sering diulang sebahagian pemimpin politik dan aktivis sosial tanah air apabila bercakap mengenai soal rasuah.
Mereka mendakwa rakyat bawahan yang terlibat rasuah ditangkap sedangkan golongan atasan pula dibiarkan bebas.
Isu rasuah dan masalah integriti merupakan antara masalah besar yang membelenggu kebanyakan negara di dunia sejak dahulu lagi. Walaupun setiap negara berusaha mengatasi masalah ini daripada terus merebak, namun ia tidak mudah. Tiada negara yang bebas sepenuhnya daripada gejala buruk ini.
Di Malaysia, masalah ini menjadi lebih rumit kerana isu rasuah sering dipolitikkan bagi mencipta pelbagai persepsi. Keadaan akan bertambah panas setiap kali siasatan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan pemimpin politik sesebuah parti.
Akan ada pihak yang marah dan pada masa yang sama, ada pula pihak yang bertepuk tangan. Kita akan mendengar pelbagai kenyataan daripada banyak pihak, termasuklah tuduhan dan andaian yang dibuat dengan sewenang-wenangnya, tanpa sandaran bukti sahih atau fakta kes.
Kita juga melihat pihak-pihak yang selama ini lantang mendesak kerajaan menghapuskan rasuah, bertindak menutup mata serta mendiamkan diri apabila melibatkan pihak yang berkaitan dengan mereka. Mereka malah memberi seribu satu alasan bagi mempertahankan tindakan yang dilakukan.
Paling malang sekali ialah apabila ada penyokong yang turut sama bertegang urat bagi menegakkan benang yang basah. Sikap dwistandard sebegini memberi gambaran mereka tidak ikhlas menentang rasuah dan isu ini hanya ditunggang bagi tujuan tertentu.
Sememangnya, kita benci rasuah. Namun, kita tidak perlu bersikap radikal dalam menyuarakan perasaan benci itu pada setiap masa. Banyak sahaja perbuatan keji yang kita turut bencikan, bukan rasuah sahaja.
Generasi Z harus bersikap bijak, berfikir secara matang serta tidak terlalu mudah dipengaruhi untuk turun memberontak kerana tindakan sebegitu tidak akan menyelesaikan sebarang masalah. Malah, ia boleh mencetuskan lagi masalah dalam masyarakat..
Jika kita mahu memperjuangkan sesuatu isu, kajilah dahulu perihal tersebut dengan teliti. Kenal pasti puncanya serta kekangan yang menyukarkan masalah tersebut diselesaikan selama ini.
Rasuah tidak dapat dihapuskan dengan hanya membuat desakan, menyuarakan kemarahan kepada orang lain atau dengan memberontak semata-mata. Jika kita merasakan tindakan sesetengah pihak selama ini gagal menangani rasuah, maka bentangkan cadangan penyelesaian yang menyeluruh serta berkesan untuk membanteras rasuah.
Tanggungjawab menghapuskan rasuah bukan hanya terletak di atas bahu pihak kerajaan dan SPRM semata-mata, tetapi ia tanggungjawab bersama. Justeru, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing secara proaktif jika benar-benar mahu membebaskan negara daripada belenggu masalah rasuah.
Tidak cukup jika kita sekadar menuding jari dan menyalahkan pihak lain atau sekadar bersemangat mengangkat sepanduk antirasuah. Kita harus mempunyai kesedaran dan iltizam untuk menolak seterusnya menghentikan rasuah. Jangan pula hanya mulut yang mengatakan tidak tetapi secara senyap-senyap gerakan kita masih berlumuran dengan tingkah laku yang haram.
Rasuah tidak akan berjaya dibanteras dengan sepenuhnya selagi mana semua pihak tidak ikhlas mahu menghentikannya. Rasuah tidak berlaku hanya kerana seseorang inginkan duit lebih, tetapi kerana masalah dalam kalangan masyarakat secara jumhur yang belum diselesaikan.
Berbalik kepada isu ‘ikan bilis’ dan ‘jerung besar’, kita harus sedar walaupun rasuah terkait ‘jerung’ melibatkan nilai yang besar, tetapi golongan ‘ikan bilis’ dalam jumlah yang besar juga mampu mengakibatkan kerosakan dan kemudaratan yang lebih teruk kepada negara. Malah, ada ‘ikan bilis’ boleh bertukar menjadi ‘jerung’ ganas jika mendapat kuasa.
Sering kali kita terlalu memberi tumpuan hanya kepada perkara besar dan lalai dalam menangani masalah kecil yang dianggap tidak memudaratkan. Walhal, masalah kecil inilah yang akhirnya membawa kepada masalah yang besar. Disebabkan kita bersikap menutup mata terhadap masalah kecillah maka menyebabkan masalah besar akan wujud kelak.
Oleh sebab itu, semua masalah harus diselesaikan daripada puncanya. Perubahan yang diperjuangkan haruslah bermula daripada langkah-langkah awal sebelum mendesak orang lain untuk berbuat sedemikian.
Rasuah bermula daripada tunas-tunas kecil kelakuan tidak amanah yang pada mulanya mungkin dianggap sebagai perkara remeh. Mahasiswa sebagai contohnya, begitu terkenal selalu meminta rakan menandatangani senarai kehadiran kuliah tatkala memontengnya.
Namun, jika kemungkaran kecil ini tidak dirawat dari awalnya, sikap tidak amanah ini akhirnya mendominasi diri. Sekecil-kecil perkara yang dilakukan tetap ia tidak beramanah.
Justeru, dalam pada kita berusaha untuk menangkap ‘jerung besar’, usaha yang keras dan tersusun mesti dilakukan untuk membina benteng yang kukuh dalam diri generasi muda bagi mengelakkan mereka terjebak dengan rasuah. Bak kata pepatah, mencegah itu lebih baik daripada merawat.

TANGANI
Dalam usaha menangani masalah rasuah, kita harus memecahkan kitarannya dalam kalangan masyarakat. Ibu bapa harus berusaha membina sahsiah diri yang kuat dalam diri anak-anak sejak mereka masih kecil.
Cara hidup kita yang terlalu mementingkan nilai kebendaan ialah salah satu faktor yang mengundang masalah rasuah. Kita melihat dunia dari sudut nilai yang bermakna pada diri sendiri sahaja.
Justeru, apabila ia melibatkan perihal moral, kita tidak merasakannya sebagai satu masalah kerana terlalu selesa bersikap tidak bermoral. Namun, apabila melihat orang lain membuatnya, terus kita melihat kesalahan tersebut.
Ada yang merasakan mereka cuma ambil sedikit sahaja dan bukannya seperti ‘jerung-jerung’ yang bermaharajalela. Sikap sebeginilah yang akan menyebabkan mereka terjerumus dalam kitaran rasuah yang lebih besar.
Bermula daripada perbuatan yang kecil, lama-kelamaan tanpa disedari, menjadi lebih parah.
Tiada masalah yang dapat diselesaikan jika terlalu sibuk mencari kesalahan orang lain tanpa mahu mengakui kesalahan yang kita lakukan.
Jika ikhlas berusaha membaiki diri, maka dengan sendirinya kita akan menjauhi rasuah. Semuanya bergantung kepada kekuatan jati diri serta iman dalam melawan nafsu.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










