PETALING JAYA: Ketua jurulatih pasukan hoki kebangsaan, Sarjit Singh bersedia untuk menerima mana-mana pemain yang merasakan mereka layak untuk menjalani latihan bersama pasukan selama seminggu.
Peluang itu diberikan oleh Sarjit kepada mana-mana pemain yang nama mereka tidak disenarai pendek menyertai kem latihan tetapi mempunyai keinginan untuk cuba menempatkan diri bersama pasukan.
“Dari awal lagi saya sudah cakap kalau ada pemain yang fikir mereka layak untuk bermain dengan skuad kebangsaan kita akan bagi mereka peluang untuk menjalani latihan bersama pasukan selama seminggu.
“Itu tugas jurulatih untuk memberi peluang kepada semua pemain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Minggu lalu, Sarjit bersama pengurus pasukan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak telah menyenaraikan 30 pemain untuk menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi jelajah Australia di Perth pada 20 April hingga 2 Mei ini dan kemudiannya mengharungi kempen Piala Negara-Negara di laman sendiri pada 15 hingga 21 Jun ini.
Seramai lima pemain daripada skuad remaja telah dipanggil daripada senarai itu untuk menyertai kem latihan iaitu Andywalfian Jeffrynus, Azimuddin Syakir Kamaruddin, Haris Iskandar Osman, Adam Ashraf Mohd Johari dan T. Naaveennash Panicker.
Mengulas lanjut, Sarjit percaya persembahan yang memberangsangkan ditunjukkan mereka dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) dapat diterjemahkan bersama skuad kebangsaan.
“Selain itu mereka juga pernah bermain di Piala Dunia Remaja di Oman dan ketika berada di sana, saya lihat mereka boleh beraksi dengan baik. Mereka sememangnya layak dipanggil menyertai kem latihan skuad kebangsaan,” katanya. – UTUSAN










