PETALING JAYA: Luqman Hakim Shamsudin bersedia memikat hati pengendali baharu Harimau Malaya, Peter Cklamovski untuk membuka pintu kepadanya beraksi bersama skuad kebangsaan.
Kontraknya yang bakal tamat dengan kelab utama Belgium, KV Kortrijk pada Jun ini, bersedia membuat penampilan di saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim 2025/2026 selepas lima tahun berkelana di Eropah.
Begitupun, pemain berusia 22 tahun itu yang kini masih berada di Belgium dan menjalani latihan seperti biasa, enggan terburu-buru untuk merebut tempat dalam skuad Harimau Malaya, sebaliknya mahu membuktikan kemampuannya di dalam saingan Liga M pada musim hadapan terlebih dahulu.
Katanya, untuk mendapat perhatian Cklamovski, dia perlu sentiasa turun beraksi dan mendapatkan minit permainan bagi mengasah kembali sentuhan lama yang semakin hilang serta mengembalikan keyakinan dalam dirinya.
Buat masa ini, bersama KV Kortrijk, dia jarang mendapat peluang beraksi dalam skuad utama sekali gus sukar untuk dirinya membuktikan kemampuan kepada Cklamovski.
“Saya nak balik Malaysia dapat minit bermain dan bagi saya setiap pemain bercita-cita bermain untuk Harimau Malaya.
“Saya pun kalau tak silap, saya dah dua tahun (tak dipanggil ke kem skuad negara), kali terakhir saya adalah dengan jurulatih Kim Pan Gon (bekas jurulatih negara).
“InsyaAllah, kalau ada rezeki, saya akan dapat dipanggil semula bermain untuk Harimau Malaya,” katanya.
Luqman menjadi antara pemain tempatan palin lama berkelana di Eropah dan sepanjang kontraknya di KV Kortrijik, dia pernah dipinjamkan ke kelab Iceland, Njarovik (2023) dan YSCC Yokohama (2024) di Liga Jepun.
Dengan pengalaman dimilikinya, ia menjadi kelebihan buat Luqman untuk mencipta sensasi di Liga Malaysia.
Untuk rekod, Cklamovski dilantik pada 1 Januari lalu bagi menggantikan Pau Marti Vicente yang tidak disambung kontrak selepas berakhirnya saingan Piala ASEAN, Disember lalu.
Pelantikan Cklamovski adalah sebahagian revolusi skuad Harimau Malaya yang dicetuskan oleh pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan sasaran membawa pasukan negara layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi nanti. – UTUSAN











