PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Rob Friend berpendapat perlawanan persahabatan membabitkan pasukan gergasi dunia seperti Argentina bukan strategi yang bagus untuk skuad kebangsaan.
Beliau berkata, apa sahaja aksi persahabatan perlu dilihat kesannya kepada skuad Harimau Malaya kerana ia akan menjejaskan pungutan mata ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Katanya, pasukan memiliki nama besar datang ke Malaysia akan mengenakan kos yang tinggi untuk setiap aksi persahabatan dan ini akan merugikan skuad kebangsaan pada masa akan datang
“Tapi saya faham kena ada strategi untuk skuad kebangsaan berkenaan aksi persahabatan. Objektif kita ialah menaikkan ranking FIFA. Kita kena strategik dalam memilih siapa lawan kita.
“Bermain menentang Argentina bukan satu strategi yang tepat. Kita kena cari lawan yang tepat untuk membantu persiapan kita hadapi kelayakan Piala Asia 2027 dan itu objektif kita,” katanya.
Sepanjang tempoh 2024, lawan Harimau Malaya dalam aksi persahabatan antarabangsa adalah Syria, New Zealand, Laos dan India.
Setakat ini, pengurusan skuad Harimau Malaya belum merangka perlawanan persahabatan walaupun bakal mengharungi aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 25 Mac ini.
Selain itu, Friend berkata, faktor komersial termasuk kewangan turut mempengaruhi usaha Harimau Malaya untuk mendapatkan aksi persahabatan berkualiti.
“Persekutuan bola sepak terkenal mahukan banyak duit (untuk pasukan) bermain untuk perlawanan sebegini,” katanya. – UTUSAN










