PETALING JAYA: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom perlu berehat panjang bagi membolehkan kecederaannya pulih dan kembali kepada prestasi maksimum.
Ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan Harnizam Basri berkata perubahan program latihan bakal direka khas bagi memastikan pelumba itu mencapai sasaran yang ditetapkan.
Shah Firdaus mempamerkan prestasi cemerlang dalam kempen Piala Negara-Negara di Konya, Turkiye minggu lalu apabila memenangi emas bagi acara keirin serta mencipta rekod peribadi dalam acara pecut individu 200 meter (m).
Mengulas Shah Firdaus yang masih dibelenggu kecederaan lutut kanannya, Harnizam berkata, dia perlu berehat panjang bagi mendapatkan semula tahap kecergasannya.
Katanya, ia berikutan kem berbasikal trek negara akan melakukan persiapan menghadapi Kejohanan Dunia di Santiago, Chile pada 22 hingga 26 Oktober sebelum ke Bangkok bagi menghadapi Sukan SEA 2025, Disember ini.
“Dia masih dalam kesakitan. Dia seorang pejuang kerana tiada apa yang boleh dilakukannya selain ketepikan kesakitan itu. Setakat ini, pada permulaan musim dia berada di atas dan kita akan perlahankan rentaknya sedikit sebab nak bagi peluang dia pulih di bahagian lututnya.
“Ia akan mengambil masa lima hingga lapan minggu untuk pulih daripada kecederaan tempurung lututnya itu. Tiada perkara lain yang boleh dilakukan cuma kena berehat sahaja sebab tubuhnya sudah digunakan melebihi had.
“Kita akan duduk berbincang dan merancang semula bentuk latihan kerana apa yang mustahak adalah nak tengok perubahan pada lututnya sebab kami nak dia kembali berlatih tanpa ada sebarang kecederaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Minggu lalu, pelumba berusia 30 tahun itu mencipta sensasi apabila dia merangkul emas dalam acara keirin menewaskan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2020, dari Perancis, Sebastien Vigier, manakala gangsa menjadi milik pelumba Jepun yang merupakan juara Asia, Shinji Nakano.
Dia turut mencatat 9.481 saat (s) dalam kelayakan pecut individu 200m, memperbaiki rekod peribadinya (9.635s) di Olimpik Paris malah catatan itu hampir menyamai rekod kebangsaan 9.402s milik Datuk Azizulhasni Awang. – UTUSAN










