PETALING JAYA: Bekas penerjun negara, Yeoh Ken Nee, kini secara rasmi dilantik sebagai Pengarah Teknikal program terjun kebangsaan, menamatkan spekulasi mengenai siapa yang bakal mengisi jawatan itu sejak beberapa minggu lalu.
Pelantikan Ken Nee menggantikan Bryan Nickson Lomas, yang sebelum ini mengendalikan program tersebut sejak Oktober 2023 sebelum mengambil keputusan untuk menerima tawaran sebagai jurulatih di luar negara.
Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Andy Low, mengesahkan bahawa Ken Nee telah pun melapor diri di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, semalam bagi memulakan tanggungjawab baharunya.
“Kontrak telah ditandatangani hari ini (semalam) dan beliau terus memulakan tugasnya tanpa berlengah.
“Kami memilih Ken Nee kerana kepakaran serta pengalaman luasnya dalam sukan terjun, bukan sahaja sebagai bekas atlet tetapi juga sebagai jurulatih yang memahami selok-belok pembangunan sukan ini,” kata Andy kepada Utusan Malaysia.
Di bawah kendalian Bryan, rangka kerja telah dibentuk untuk memulihkan prestasi skuad terjun negara yang mengalami penurunan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Beliau (Ken Nee) akan meneruskan pelan strategik yang telah dirangka oleh Bryan dan melakukan penambahbaikan di mana perlu bagi memastikan sukan terjun negara kembali ke landasan terbaik,” katanya.
Untuk rekod, Ken Nee bukan nama asing dalam sukan ini selepas mencipta sejarah sebagai penerjun lelaki pertama Malaysia yang mara ke final Olimpik, menamatkan saingan di tempat ke-10 dalam acara 3 meter (m) papan anjal individu lelaki di Olimpik London 2012.
Selepas bersara, beliau beralih ke bidang kejurulatihan dan sebelum ini mengendalikan skuad terjun Wilayah Persekutuan serta juga merupakan hakim antarabangsa bertauliah dan antara segelintir pegawai Asia yang diberi kepercayaan untuk mengadili acara sukan terjun di Sukan Olimpik Paris tahun lalu. – UTUSAN










